info-Solat

Monday, March 19, 2012

Majlis Perpisahan untuk Pak Rahim...

Satu majlis kecil meraikan Saudara Fathurochim (Pak Rahim) telah diadakan pada hari Ahad, 18 Mac 2012, selepas solat Isyak.

Beliau merupakan salah seorang yang terlibat dalam pembinaan bangunan baru Surau Al-Husna sejak bulan Disember 2010. Beberapa orang lain dalam pasukan beliau yang telah berpindah ialah Saudara Zainuri Zainal (Nuri), Halil Osman dan Agus. Dua rakannya yang lain, Roni dan Jamal telah kembali ke kampung halaman lebih awal semasa struktur bangunan masih dalam pembinaan.

Pasukan ini telah berada di tapak surau ini dalam rumah kongsi dan kemudiannya menghuni sementara di salah satu bilik di Surau Al-Husna.

Setelah selesai pembinaan Fasa 1, Pasukan Nuri telah membaikpulih dan menaiktaraf bangunan tandas, bilik air dan tempat mengambil wudhu.
Manakala Rahim telah terlibat secara langsung dalam beberapa pembinaan kecil, antaranya bangunan pengumpulan bahan-bahan kitar semula dan bangunan stor penyimpanan barangan.

Kerja-kerja terkini yang telah beliau siapkan ialah penambahan bumbung bangunan tandas wanita dan menurap konkrit di laluan kedua sebelah kanan surau.

Selain daripada itu, beliau secara tidak langsung menjadi penjaga surau termasuk keselamatan dan kebersihan sepanjang berada di surau.

Memiliki kelulusan Diploma dalam bidang perikanan (marine), beliau menjadi orang terakhir dari pasukan pembinaan yang akan meninggalkan tempat ini…

Semasa majlis, saudara Rahim telah diberi kesempatan untuk menyampaikan ucapan dan luahan hati. Beliau mengucapkan terima kasih atas penerimaan masyarakat dan kepercayaan yang diberikan dalam melaksanakan beberapa pembinaan tambahan dan menyatakan penghargaan atas segala kebaikan yang diberikan.
Majlis perpisahan diiringi penyampaian cenderahati kenangan dan jamuan ringan yang disumbangkan oleh beberapa orang jemaah.
Pihak Surau dan seluruh jemaah mengucapkan terima kasih kepada beliau atas tenaga dan kudrat yang disumbangkan dalam pembinaan Surau Al-Husna, meskipun atas nama mencari rezeki… Beliau akan menaiki pesawat pada pagi Selasa, 20 Mac 2012 untuk kembali ke kampung halaman menemui anak dan isteri di Lampung.

No comments: