info-Solat

Tuesday, December 16, 2008

Isnin, 10 Zulhijjah 1429 Hijrah

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Labbaik Allahumma Labbaik. Labbaik, La Shareek Laka, Labbaik. Innal Hamdah, Wan Nematah, Laka wal Mulk, La Shareek Laka!

8 Disember 2008 bersamaan 10 Zulhijjah 1429 Hijrah, kita di Malaysia menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, jemaah Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam turut mengadakan program ibadah qurban dan aqiqah sesudah selesai menunaikan solat Aidil Adha di masjid-masjid berhampiran.

Pada malam sebelumnya, jemaah berkumpul dan bergerak dari rumah ke rumah yang membuat permintaan untuk bertakbir dan berdoa. Ia adalah sebahagian dari aktiviti yang mampu merapatkan ukhuwwah di kalangan jemaah dan penduduk setempat. Oleh kerana ramai yang pulang ke kampung, pada kali ini takbir dari rumah ke rumah berakhir lebih awal.
Hujan renyai bermula awal pagi sebelum subuh berlarutan sehingga tengahari, tidak mematahkan semangat para jemaah untuk berhimpun mulai jam 9.30 pagi untuk melaksanakan program qurban dan aqiqah.

Pihak Surau Al-Husna menerima 38 penyertaan, di mana 5 ekor lembu dan 3 ekor kambing menjadikan jumlah keseluruhan 8 ekor haiwan untuk qurban untuk tahun ini. Satu ekor lembu untuk 7 bahagian, manakala seekor kambing untuk satu bahagian. Berdasarkan kepada bilangan, menunjukkan pertambahan sebanyak 4 ekor haiwan sembelihan berbanding tahun sebelumnya yang hanya berjumlah 4 ekor.

Kami menggunakan pengalaman lepas yang diperbaiki proses dan pengurusan dalm program qurban dan aqiqah pada tahun ini. Seperti biasa, beberapa mesyuarat dan perjumpaan diadakan sebelum hari pelaksanaan bagi mempastikan ia berjalan lancar. Sebuah urusetia telah dibentuk bagi menyelaraskan program ini sebagaimana tahun-tahun yang lepas. Antara peranan urusetia termasuklah pendaftaran penyertaan, pembelian lembu, penyediaan tapak, lubang sisa dan perkakasan, penyembelihan, menumbangkan lembu dan persediaan untuk penyembelihan.

Bagi setiap ekor lembu, satu pasukan petugas dengan seorang ketua telah dilantik bagi mempastikan aliran proses di laksanakan mengikut garis panduan yang telah disediakan, antaranya termasuklah melapah, memotong, menimbang dan membungkus. Pengagihan setiap ekor lembu pula ditentukan untuk peserta, fakir miskin/anak yatim, petugas-petugas dan seterusnya penduduk setempat.

Manakala di bahagian masakan, dua orang ketua telah dilantik mengetuai masakan menu utama yang bersaskan lembu dan kambing, dengan dibantu oleh kaum muslimat.

Secara keseluruhan, dengan semangat kerjasama dan gotong-royong yang sangat baik, semua kerja telah dapat disempurnakan dengan jaya dan berakhir pada kira-kira jam 2.00 petang.
Program di akhiri dengan pengagihan bahagian qurban kepada penerima yang dinyatakan dan seterusnya jamuan makan tengahari selepas solat Zohor.

Tanpa diduga dan tanpa persediaan sambutan, majlis turut dihadiri YB Puan Rodziah Ismail, ADUN Batu Tiga Merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Kepada semua dermawan yang telah menyumbangkan tenaga, wang ringgit dan peralatan, pihak Jawatankuasa Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam merakamkan ucapan terima kasih dan semoga sumbangan yang diberikan memperoleh keberkatan dan rahmat Allah S.W.T.

Wednesday, July 2, 2008

Program Kitar Semula Menjana Sumber Kewangan

Dimulakan pada bulan Julai 2005, dengan penyerahan tong-tong kitar semula dan papantanda oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai simbolik kepada permulaan aktiviti yang sehingga kini telah berlangsung selama empat tahun.

....(akan disambung...)

Wednesday, May 14, 2008

Suatu Permulaan

Assalamualaikum,

Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam....

Segalanya bermula menjelang Ramadhan tahun 1423 Hijrah (2003 Masehi)... Dimulakan dengan penubuhan Jawatankuasa Penaja Surau Seksyen 20B. Surau ini dibina hasil sumbangan masyarakat setempat, atas keinginan yang kuat untuk mewujudkan satu tempat berkumpul, menimba ilmu, beramal ibadah dan bermasyarakat.

Selepas Jawatankuasa Penaja berjaya mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa berkaitan, satu mesyuarat agung telah diadakan bagi mewujudkan jawatankuasa yang tetap dan perubahan nama surau kepada Surau Al-Husna, Seksyen 20, Shah Alam.

Asalnya (dan masih lagi) hanya sebuah kabin binaan yang berukuran 20 kaki lebar dan 30 kaki panjang. Kini telah ditambah kiri, kanan dan belakang untuk menampung pertambahan jemaah dan aktiviti.

Pada mulanya tiada kemudahan bilik air, hasil sumbangan para dermawan, kini terbina sebuah bilik air dan tempat mengambil wudhu yang selesa untuk lelaki dan wanita. Dibina sebagai bangunan kekal dengan batu-bata dan simen konkrit dengan kos hampir RM40,000, untuk kegunaan jangkapanjang.

Kami menampung kos aktiviti mengimarahkan surau dengan menjalankan kegiatan kitar semula mulai Julai 2005. Selain menjana sumber pendapatan melalui penjualan barangan kitar semula yang didermakan oleh masyarakat setempat, ia juga mampu mendidik masyarakat mengenai kepentingan kitar semula kepada manusia dan tempat tinggalnya, yakni bumi ini. Disamping menyuburkan amalan sedekah meskipun hanya melalui bahan terbuang.

Selain aktiviti harian dalam mengimarahkan surau, kami mempunyai kalendar aktiviti mingguan dan bulanan di samping aktiviti yang dilaksanakan berdasarkan hari-hari kebesaran dalam kalendar Islam. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah, kuliyyah fardhu ain, kuliyyah tafsir hadis, kelas tajwid Al-Quran, ceramah umum merangkumi pendidikan anak-anak, peranan ibu-bapa dan masyarakat, sukan dan kesihatan, motivasi, hal-ehwal semasa dan sebagainya.

Bermula tahun 2006, surau ini telah digunakan sebagai tempat Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang dikendalikan oleh pihak swasta, menampung kira-kira 100 orang murid.

Perancangan dan usaha sedang dilakukan untuk membina sebuah bangunan surau kekal di tapak yang sama. Bagi tujuan ini, kelulusan tapak tanah dan perkara berkaitan dengan pentadbiran surau telahpun diluluskan oleh pihak berkuasa seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Perkara yang masih dalam proses ialah penyediaan pelan bangunan yang menepati piawaian. Dengan izin Allah, kami harap semua proses ini mampu diselesaikan menjelang hujung tahun 2008.

Dari masa ke semasa, pihak jawatankuasa Surau Al-Husna mengedarkan pekeliling berkaitan aktiviti semasa yang dilaksanakan. Dalam perkeliling tersebut turut dinyatakan alamat surat menyurat dan nombor telefon Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha.

Kalangan dermawan yang ingin memberi sumbangan untuk membiayai aktiviti semasa dan/atau membiayai pembinaan bangunan surau kekal boleh didebitkan terus atas nama Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam di Public Bank akaun semasa bernombor 3994 192 802.

Segala sumbangan amat dihargai dan semoga memperoleh keberkatan dari Allah SWT.

Wassalamulaikum.