info-Solat

Thursday, March 8, 2012

Lawatan Peserta Toyota Eco Youth 2012

Pada hari Rabu 7 Mac 2012, jam 9:30 pagi, seramai kira-kira 30 orang peserta TOYOTA Eco Youth 2012 telah mengadakan lawatan ke Surau Al-Husna. Lawatan ini adalah untuk berkongsi pengalaman Program Kitar Semula yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar.

Peserta terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah bersama guru masing-masing dari sekolah menengah terpilih seluruh Malaysia. Kumpulan ini meliputi antaranya peserta dari Sabah, Pulau Pinang, Pahang dan Putrajaya.

Kehadiran mereka disambut oleh ahli-ahli jawatankuasa muslimat. Pengerusi Surau Ustaz Mohd Takiyuddin turut meluangkan masa untuk meraikan kehadiran peserta lawatan.

Penerangan secara menyeluruh berkaitan latar belakang surau, profil komuniti dan program kitar semula Surau Al-Husna disampaikan oleh Setiausaha Surau. Penerangan dan taklimat meliputi Program Kitar Semula bahan kertas, plastik, besi dan juga Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai untuk tujuan kitar semula.
Semasa sesi soal jawab, antara soalan yang dikemukakan adalah mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh 7 tahun pihak Surau Al-Husna mengendalikan Program Kitar semula yang bermula pada Julai 2005.

Para peserta dimaklumkan antara cabaran awal ialah menarik minat penduduk setempat menyertai program ini dengan menyumbangkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Ini adalah kerana mereka perlu membawanya ke pusat pengumpulan bertempat di kawasan surau.

Cabaran kedua ialah mendidik tentang bahan-bahan yang boleh dikitar semula, kerana pada peringkat awal terdapat bahan-bahan tidak boleh dikitar semula seperti fabrik, perabut kayu dan kasut yang turut dihantar ke pusat pengumpulan.

Cabaran ketiga ialah mendidik berkaitan pengasingan sebelum penghantaran, disebabkan pada peringkat awal terdapat penghantaran yang dicampur-aduk.

Cabaran keempat ialah mendidik mengenai pembersihan bekas-bekas yang hendak dikitar semula daripada sisa-sisa makanan yang menghasilkan bau tidak menyenangkan dan menyebabkan limpahan di pusat pengumpulan.

Peserta juga mengemukakan pertanyaan tentang langkah-langkah yang diambil dalam menangani cabaran dalam meningkatkan pendidikan dan kesedaran kepada penduduk setempat.

Setiausaha menjelaskan bahawa semua usaha dijalankan secara berterusan menerusi sebaran pekeliling berkala yang berunsurkan pendidikan dan program ceramah dan tazkirah berkala yang berkaitan.
Selesai sesi soal jawab para peserta dibawa ke tapak pengumpulan bahan kitar semula di penjuru kawasan surau. Taklimat berkaitan diberikan oleh Pengerusi Surau.

Jamuan ringan ditaja oleh UMW Toyota. Semua peserta meninggalkan perkarangan Surau Al-Husna selepas hampir 1 jam lawatan dengan memperoleh maklumat yang menambah ilmu pengetahuan berkaitan Program Kitar semula serta kebaikan kepada alam sekitar, komuniti, pertubuhan dan kehidupan.

Pihak Surau Al-Husna amat berbesar hati kerana dipilih sebagai salah satu destinasi lawatan dan gembira dapat berkongsi pengalaman.

Lihat gambar-gambar lain di laman facebook Surau Al-Husna Seksyen 20 Shah Alam: http://www.facebook.com/#!/pages/Surau-Al-Husna-Seksyen-20/115523715170045

No comments: