info-Solat

Saturday, November 3, 2012

Dua belas...

Rekod tertinggi setakat ini
Program Ibadah Qurban / Udhiyyah pada tahun ini menyaksikan penyertaan sebanyak 84 bahagian bersamaan 12 ekor lembu dan penyertaan aqiqah 2 ekor kambing.
Stesen Penyembelihan
Bilangan ini adalah rekod tertinggi semenjak Program Ibadah Qurban dilaksanakan di Surau Al-Husna sejak hampir 10 tahun lalu. Ini bermakna, rekod sebelum ini dengan jumlah 11 ekor pada tahun 2011 telah diatasi. Debaran jawatankuasa pengurusan program juga meningkat. Bukan rekod yang menjadi ukuran atau kebanggaan. Ia lebih kepada melaksanakan tanggungjawab dan amanah..

Program ibadah Qurban telah berlangsung pada hari Sabtu 11 Zulhijjah 1433 Hijrah bersamaan 27 Oktober 2012. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, semuanya berjalan lancar. 

Para penduduk sekitar mula berkumpul seawal jam 7:30 pagi. Bagi tujuan memudah dan mempercepat kerja-kerja memasak, 2 ekor kambing aqiqah disembelih terlebih dahulu pada jam 7:30 pagi.
Nombor Sebelas
Persediaan lembu untuk penyembelihan dilakukan oleh pasukan penumbang lembu yang diketuai oleh Abang Mat, Abang Sudin dan Abang Jamil.

Lembu pertama disembelih pada kira-kira jam 8:00 pagi dan lembu ke-12 pula pada kira-kira jam 10:30 pagi. Kerja-kerja penyembelihan dilakukan dan dimulakan oleh Saudara Hafez Md Som untuk kesemua kambing dan lembu kecuali 5 ekor lembu. Lembu label ke-2, ke-4, ke-6 dan ke-8 oleh Saudara Adli Harith Mahyudin manakala lembu ke-12 oleh seorang Pak Arab yang juga peserta program. Pak Arab tersebut ialah Sheikh Abdul Jalal yang juga mengajar bahasa Arab di Surau Al-Husna.
Lembu ke-12 oleh Pak Arab (Berjubah)
Kerja-kerja melapah selesai menjelang jam 12 tengahari dengan semua bahagian lembu telah berada di setiap stesen pemotongan, masakan dan agihan mengikut carta aliran proses yang disediakan. Terdapat 12 pasukan petugas bagi mengedalikan 12 ekor lembu dengan seorang ketua dan tidak kurang dari 8 orang pembantu bagi setiap satu pasukan. Antaranya telah berpengalaman sejak program qurban ini dimulakan hampir 10 tahun lalu.

Ketika kerja-kerja memasak dengan menu-menu yang telah dirancang masih diteruskan, kerja-kerja di stesen agihan hampir bermula menjelang waktu Zohor. Sementara menantikan waktu Zohor, Pengerusi Surau YBhg Ustaz Takiyuddin menyampaikan ucapan penangguhan dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama  dengan begitu baik sehingga program telah berjalan dengan lancar.  Tahlil dan doa menyusul sesudah ucapan penangguhan.

Pada ketika ini keluarga yang mengambil bahagian aqiqah mengagih-agihkan cenderahati kepada semua yang hadir.

Selepas azan dan solat Zohor, program agihan bermula di Stesen Agihan, diketuai oleh Tuan Haji Mohd Abdullah. Pengagihan bermula dengan peserta qurban, para petugas bagi setiap pasukan 1 hingga 12 (mengikut bilangan lembu qurban) dan para penduduk / ahli kariah / musafir dan golongan asnaf. 

Pengagihan adalah berdasarkan jadual agihan yang disediakan. Para petugas dan penduduk diberikan kupon yang disediakan oleh Bendahari, Tuan Haji Ainul Adnan.

Selesai dengan agihan, semua yang hadir telah dijamu dengan menu yang telah dimasak – sup tulang / gear box, daging masak kicap, kambing masak kari / kuzi, sayur dan pelbagai ulaman. Ketua stesen masakan adalah mengikut menu - masakan kambing Tuan Haji Mohd Sultan, masakan sup Saudara Mohd Fareh Zaid, manakala menu lain dipertanggungjawabkan kepada muslimat yang diketuai Puan Jamaiyah.

Agihan untuk golongan asnaf diuruskan oleh kalangan jemaah yang dilantik. Hujan yang turun dengan lebat serta angin kuat pada sebelah petang selepas solat Asar dan berterusan hingga waktu malam merupakan bantuan Allah kepada makhluknya melengkapkan pembersihan di kawasan program qurban / udhiyyah.

1 comment:

mahaza said...

lembu kedua kemepat keenam dan kesepuluh oleh Adli Harith kalo tak silap. No satu dimulakan oleh Hafez