info-Solat

Thursday, November 15, 2012

Daurah Remaja Muslim 2012

Perlaksanaan Program Daurah Remaja Muslim 2012 selama kira-kira TIGA MINGGU yang dijadualkan bermula 19 November hingga 6 Disember semasa cuti sekolah kali ini diharapkan mampu menjadi panduan untuk membentuk sahsiah yang baik dan memberi impak yang signifikan di kalangan anak-anak dan remaja. 

Pengisian program yang dirancang adalah meliputi teori dan praktikal merangkumi aspek Aqidah, Islam, Ibadah, Akhlak, Sirah, Sahsiah dan Ukhuwwah.

”Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu)  menyuruh (berbuat) yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah”. ( Ali – Imran: 110)

Anak-anak merupakan anugerah Allah yang sangat berharga kepada setiap ibubapa. Lahirnya mereka dalam keadaan yang diibaratkan putih bersih dan menjadi tanggungjawab ibubapa mencorak anak mereka mengikut acuan yang mereka mahu.

Islam menekankan pendidikan islam di awal usia. Allah SWT. menggariskan kepada manusia terutamanya kepada ibubapa supaya mendidik anak-anak dengan acuan yang telah ditetapkan islam. 

Mendidik anak-anak memerlukan teknik dan kesabaran yang tinggi demi memahamkan mereka mengenai sesuatu perkara. Asas pendidikan yang baik bermula di rumah dan berterusan sehingga mereka menjejakkan kaki ke alam persekolahan, alam remaja dan usia dewasa. Sekiranya permulaan yang baik diterapkan pada awal  usia, insyaAllah  mereka menjadi pelajar yang baik akhlaknya dan memiliki sahsiah muslim yang menjadi  benteng dari terjerumus kepada gejala sosial yang mudah mempengaruhi pelajar sekolah dan remaja terutamanya.

Para peserta program ini diharapkan mampu menjadi pelapis dan seterusnya peneraju untuk mempertingkatkan kemurnian persekitaran hidup mereka samada di sekolah atau di rumah dan mampu menyampaikan kesedaran Islam dikalangan rakan sebaya mereka.

Untuk melahirkan pendakwah muda yang berkebolehan, pemantapan dengan persiapan fizikal, mental dan spiritual amat diperlukan. Diharapkan program ini mampu melahirkan pendakwah muda dari kalangan pelajar dan remaja yang berjiwa kental, lasak, bijak serta bersahsiah. 

OBJEKTIF PROGRAM
  • Untuk melahirkan pelajar yang mempunyai kesedaran untuk beramal dengan Islam dalam diri.
  • Untuk melahirkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan daya pemikiran yang kreatif dan kritis.
  • Memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar tentang sesuatu yang baru melalui aktiviti perkongsian oleh pihak fasilitator dan juga rakan-rakan peserta.
SASARAN PESERTA
Terbuka kepada anak-anak berumur di antara 7 dan 17 tahun (Lelaki dan Perempuan) dari sekitar Surau Al-Husna dan sekitar Shah Alam.

TARIKH
19 November   6 Disember 2012 (TIGA minggu)

TEMPAT
Surau Al Husna, Seksyen 20, Shah Alam

WAKTU PROGRAM
8.00 pagi – 5.00 petang ( Isnin – Khamis setiap minggu )

PENGISIAN PROGRAM
Peserta dibahagi kepada TIGA kelompok umur (7-9 tahun), (10-12 tahun) dan (13-17 tahun)

MAKANAN/MINUMAN
Sarapan pagi + Makan tengahari ++

YURAN
Yuran minimum bersubsidi. (Sumbangan minima RM50/seorang)

BORANG PENYERTAAN
Boleh didapati di Surau Al-Husna.
Borang yang lengkap berserta yuran/sumbangan hendaklah diserah kepada AJK Surau Al-Husna pada kadar segera untuk perancangan logistik.

Sunday, November 4, 2012

Siaran Maya...

Usaha untuk membawa siaran langsung kuliah dari Masjid negeri (dan tempat-tempat lain) untuk diikuti jemaah Surau Al-Husna telahpun mendapat hasil positif, dengan beberapa kuliah berjaya dipancarkan.

Kini usaha selanjutnya ialah membuat siaran langsung kuliah dari Surau Al-Husna untuk diikuti melalui siaran u-stream.tv.  Dua program perintis telah berjaya disiarkan. Program pertama ialah Forum Dakwah Harmoni anjuran bersama Pertubuhan Ikram Shah Alam yang berlangsung pada hari Sabtu 3 November 2012, selepas solat Maghrib.
Forum Dakwah Harmoni
Dua orang ahli panel dari PERKIM iaitu Saudara Lim Jooi Soon (Penasihat PERKIM Ampang) dan Saudara Mohd Amin Yaacob (Pelatih Dakwah PERKIM). Moderator ialah Ustaz Wan Rahiman Hussain, Pertubuhan IKRAM Shah Alam. Tajuk forum adalah berkisar Dakwah Harmoni Dalam Masyarakat Majmuk.
Kuliah Subuh berkitab Munyatul Musolli
Siaran kedua ialah kuliah Subuh berpandukan kitab Munyatul Musolli yang disampaikan oleh Ustaz Wan Abdul Halim Wan Abdul Latif dari Madrasah Riadus Solihin, pada hari Ahad 4 November 2012.
Kru Siaran Langsung

Mudah-mudahan kedua-dua jenis siaran langsung ini dapat menyebar luaskan lagi liputan penyampaian ilmu. Sila ikuti makluman melalui facebook Surau Al-Husna untuk sebarang siaran langsung.

Saturday, November 3, 2012

Manfaat Teknologi..

Live Streaming program kuliah dari Masjid Negeri.
Kuliah Ustaz Azhar Idrus dari Masjid Negeri
Melalui beberapa percubaan Pihak Surau Al-Husna telah berjaya menyiarkan kuliah secara langsung dari Masjid Negeri. Usaha keras jemaah yang mahir IT dan Komunikasi, iaitu Saudara Haji Haron, Mahyudin dan Zahirulain menjadikan program ini dapat disiarkan secara langsung. 
Kuliah Ustaz Haslin 'Bollywood' dari Masjid Negeri
Siaran melalui U-Stream.TV ini dipancarkan melalui layar untuk diikuti oleh jemaah yang sedia menunggu. Antara yang pernah disiarkan ialah Program Ceramah Ustaz Azhar Idrus, Kuliah Ustaz Haslin 'Bollywood' dan Kuliah Solat oleh Ustaz Mohd Jais Kamus.

Melalui manfaat teknologi, Surau Al-Husna cuba membawakan program yang inovatif untuk membolehkan para jemaah mengikuti siri kuliah yang sama dari tempat lain, sekaligus menjimatkan masa perjalanan hadir ke tempat sebenar.
Kuliah Ustaz Mohd Jais Kamus dari Masjid Negeri
Pihak Surau Al-Husna juga akan cuba menyiarkan program yang diadakan di Surau Al-Husna. Forum Dakwah Harmoni anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Shah Alam, yang akan dilangsungkan pada hari Sabtu 3 November 2012 akan menjadi perintis untuk disiarkan melalui U-Stream.tv untuk diikuti di mana sahaja.
Akan cuba disiarkan melalui U-Stream.tv dari Surau Al-Husna
Langganan U-Stream adalah daripada sumbangan dari kalangan jemaah. Semoga program inovatif yang cuba diketengahkan ini membawa manfaat untuk meningkatkan ilmu dan amal di kalangan jemaah.

Dua belas...

Rekod tertinggi setakat ini
Program Ibadah Qurban / Udhiyyah pada tahun ini menyaksikan penyertaan sebanyak 84 bahagian bersamaan 12 ekor lembu dan penyertaan aqiqah 2 ekor kambing.
Stesen Penyembelihan
Bilangan ini adalah rekod tertinggi semenjak Program Ibadah Qurban dilaksanakan di Surau Al-Husna sejak hampir 10 tahun lalu. Ini bermakna, rekod sebelum ini dengan jumlah 11 ekor pada tahun 2011 telah diatasi. Debaran jawatankuasa pengurusan program juga meningkat. Bukan rekod yang menjadi ukuran atau kebanggaan. Ia lebih kepada melaksanakan tanggungjawab dan amanah..

Program ibadah Qurban telah berlangsung pada hari Sabtu 11 Zulhijjah 1433 Hijrah bersamaan 27 Oktober 2012. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, semuanya berjalan lancar. 

Para penduduk sekitar mula berkumpul seawal jam 7:30 pagi. Bagi tujuan memudah dan mempercepat kerja-kerja memasak, 2 ekor kambing aqiqah disembelih terlebih dahulu pada jam 7:30 pagi.
Nombor Sebelas
Persediaan lembu untuk penyembelihan dilakukan oleh pasukan penumbang lembu yang diketuai oleh Abang Mat, Abang Sudin dan Abang Jamil.

Lembu pertama disembelih pada kira-kira jam 8:00 pagi dan lembu ke-12 pula pada kira-kira jam 10:30 pagi. Kerja-kerja penyembelihan dilakukan dan dimulakan oleh Saudara Hafez Md Som untuk kesemua kambing dan lembu kecuali 5 ekor lembu. Lembu label ke-2, ke-4, ke-6 dan ke-8 oleh Saudara Adli Harith Mahyudin manakala lembu ke-12 oleh seorang Pak Arab yang juga peserta program. Pak Arab tersebut ialah Sheikh Abdul Jalal yang juga mengajar bahasa Arab di Surau Al-Husna.
Lembu ke-12 oleh Pak Arab (Berjubah)
Kerja-kerja melapah selesai menjelang jam 12 tengahari dengan semua bahagian lembu telah berada di setiap stesen pemotongan, masakan dan agihan mengikut carta aliran proses yang disediakan. Terdapat 12 pasukan petugas bagi mengedalikan 12 ekor lembu dengan seorang ketua dan tidak kurang dari 8 orang pembantu bagi setiap satu pasukan. Antaranya telah berpengalaman sejak program qurban ini dimulakan hampir 10 tahun lalu.

Ketika kerja-kerja memasak dengan menu-menu yang telah dirancang masih diteruskan, kerja-kerja di stesen agihan hampir bermula menjelang waktu Zohor. Sementara menantikan waktu Zohor, Pengerusi Surau YBhg Ustaz Takiyuddin menyampaikan ucapan penangguhan dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama  dengan begitu baik sehingga program telah berjalan dengan lancar.  Tahlil dan doa menyusul sesudah ucapan penangguhan.

Pada ketika ini keluarga yang mengambil bahagian aqiqah mengagih-agihkan cenderahati kepada semua yang hadir.

Selepas azan dan solat Zohor, program agihan bermula di Stesen Agihan, diketuai oleh Tuan Haji Mohd Abdullah. Pengagihan bermula dengan peserta qurban, para petugas bagi setiap pasukan 1 hingga 12 (mengikut bilangan lembu qurban) dan para penduduk / ahli kariah / musafir dan golongan asnaf. 

Pengagihan adalah berdasarkan jadual agihan yang disediakan. Para petugas dan penduduk diberikan kupon yang disediakan oleh Bendahari, Tuan Haji Ainul Adnan.

Selesai dengan agihan, semua yang hadir telah dijamu dengan menu yang telah dimasak – sup tulang / gear box, daging masak kicap, kambing masak kari / kuzi, sayur dan pelbagai ulaman. Ketua stesen masakan adalah mengikut menu - masakan kambing Tuan Haji Mohd Sultan, masakan sup Saudara Mohd Fareh Zaid, manakala menu lain dipertanggungjawabkan kepada muslimat yang diketuai Puan Jamaiyah.

Agihan untuk golongan asnaf diuruskan oleh kalangan jemaah yang dilantik. Hujan yang turun dengan lebat serta angin kuat pada sebelah petang selepas solat Asar dan berterusan hingga waktu malam merupakan bantuan Allah kepada makhluknya melengkapkan pembersihan di kawasan program qurban / udhiyyah.

Eidul Adha 1433 Hijrah


Khutbah disampaikan oleh YBhg Ustaz Takiyuddin
Solat Sunat Edil Adha 1433 Hijrah merupakan kali kedua dilaksanakan di Surau Al-Husna. Kehadiran para jemaah dari semua peringkat umur, lelaki dan perempuan sangat memberangsangkan dan memenuhi segenap ruang termasuk khemah yang disediakan di bahagian belakang.
Menghayati khutbah
Imam pada kali ini ialah YBhg Ustaz Nasharuddin manakala khutbah disampaikan oleh YBhg Ustaz Haji Mohd Takiyuddin. Teks khutbah adalah daripada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan tajuk berkaitan perpaduan umat.

Jemaah memenuhi setiap ruang
Selesai Khutbah para jemaah saling bersalaman di antara satu sama lain....

Program Zulhijjah

Beberapa program sempena bulan Zulhijjah telah diaturkan. Antaranya ialah enam program yang dilaksanakan di Surau Al-Husna: Qiyamulail 1/3 malam secara berjemaah, Iftar Jama’ie sempena puasa hari Arafah / Wukuf, Tazkirah Fadhilat Qurban / Udhiyyah, Solat sunat Eidul Adha berserta Khutbah pada 10 Zulhijjah dan kemuncaknya ialah Program Ibdah Qurban / Udhiyyah pada 11 Zulhijjah bersamaan hari Sabtu 27 Oktober 2012.
Program-program Sempena bulan Zulhijjah 1433 Hijrah
Program Qiyamulail dipimpin oleh YBhg Ustaz Idris Abdullah dari UiTM, Shah Alam dan disambung dengan kuliah Subuh yang juga disampaikan oleh beliau dengan sambungan tajuk soaljawab Rasulullah SAW dengan Iblis.

Iftar Jama’ie pada 9 Zulhijjah diikuti dengan Takbir malam Eidul Adha pada sebelah malamnya. Hujan rahmat pada malam Jumaat yang turun dengan lebat menjadikan program Takbir hanya diadakan di Surau dan pergerakan Takbir ke rumah-rumah di tangguhkan pada hari-hari berikut.  Bagaimanapun jamuan malam Eidul Adha secara pot-luck yang dihimpunkan diteruskan di Surau dan para jemaah terus berkumpul hingga lewat malam sambil menunggu hujan reda.

Pada pagi Jumaat 10 Zulhijjah, solat sunat Eidul Adha dilaksanakan bermula jam 8:30 pagi. Para jemaah mula berkumpul seawal jam 7:15 pagi. Imam solat ialah YBhg Ustaz Nasharuddin manakala Khutbah Eidul Adha disampaikan oleh YBhg Ustaz Takiyuddin. Tajuk Khutbah yang disediakan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah berkisar mengenai perpaduan umat Islam.
Takbir pada malam Eidul Adha 
Selesai Solat dan Khutbah Eidul Adha para jemaah dihidangkan dengan jamuan yang disumbangkan oleh kalangan jemaah sendiri dengan pelbagai juadah Hari Raya. Oleh kerana Program Ibadah Qurban hanya akan diadakan pada 11 Zulhijjah, para jemaah mengambil kesempatan untuk meluangkan masa lebih lama di samping menjalin ukhuwwah.
Khutbah Eidul Adha
Program Qurban yang dilaksanakan pada 11 Zulhijjah memberi ruang kepada para jemaah untuk mengunjungi saudara-mara di tempat lain atau pulang ke kampung lebih awal dan kembali semula ke Surau pada awal pagi Sabtu.


Jumlah penyertaan ibadah Qurban / Udhiyyah pada kali ini adalah sebanyak 84 bahagian bersamaan dengan 12 ekor lembu dan 2 ekor kambing aqiqah..