info-Solat

Thursday, August 16, 2012

Iftar Perdana 2 ...

Iftar Perdana kali ke-2 pada Ramadhan ini di Surau Al-Husna telah berlangsung pada hari Selasa 14 Ogos 2012 bersamaan 25 Ramadhan 1433 Hijrah. Program berlangsung dengan beberapa acara lain termasuk khatam Al-Quran dan penyampaian sumbangan kepada asnaf, anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal.
Kuliah Penawar Bagi Hati Sebelum iftar
Bersempena dengan iftar perdana kali ini telah diadakan beberapa program antaranya Kuliah oleh Ustaz Wan Abdul Halim Wan Abdul Latif yang menyambung kuliah berdasarkan kitab Penawar Bagi Hati. Kuliah yang dimulakan sejak hari pertama Ramadhan merupakan kuliah terakhir pada Ramadhan kali ini kerana beliau akan bertolak pulang ke kampung halaman pada pagi hari Rabu 15 Ogos.
Kuliah Ustaz Wan Abdul Halim 
Iftar kali ini diserikan dengan kehadiran beberapa orang pemimpin tempatan, antaranya YBhg Dato’ Ahmad Nawawi Md Zin bersama Tuan Haji Zulkurnain Mohd Ruslan dari Pejabat Penyelaras Parlimen Shah Alam dan DUN Batu Tiga serta rombongannya.  Turut hadir ialah Pengerusi MPP Zon 7, Tuan Haji Haris Abu Bakar. Mereka turut berkesempatan mengikuti kuliah sebelum majlis iftar.

Sebagaimana Iftar Perdana 1, pada 6 Ogos (17 Ramadhan), Iftar Perdana 2, kali ini masih mengekalkan dua konsep, iaitu pihak surau menyediakan menu utama dan disokong oleh menu sumbangan dari Restoran Seri Bunga Seksyen 20 dan menu tambahan secara potluck sumbangan dari kalangan jemaah. Konsep ini memberi peluang kepada semua untuk beramal jariah.

Berbeza dengan Iftar Perdana 1 yang menyajikan menu utama seperti Sup Daging dan Ikan Patin (Sungai Pahang) goreng, menu utama pada kali ini ialah bubur lambuk istimewa yang dimasak oleh Chef utama Tuan Haji Hassan Mohd Ali dan Sdra Mohd Fareh Mohd Zaid dengan dibantu oleh kalangan jemaah yang berkelapangan.
Majlis Khatam Tadarus Al-Quran
Selepas solat Maghrib berjemaah dan makan malam, satu acara ringkas penyampaian sumbangan Ramadhan oleh YBhg Dato’ Ahmad Nawawi dan cenderahati oleh Tuan Haji Zulkurnain kepada YBhg Ustaz Haji Mohd Takiyuddin Ibrahim selaku Pengerusi Surau Al-Husna.
Khatam Al-Quran dipimpin Ustaz Wan Abdul Halim
Selepas solat Isya diadakan pula Solat Hajat untuk mendoakan keselamatan mereka yang akan mula pulang ke kampung, mereka yang tinggal dan juga untuk anak-anak yang akan menduduki peperiksaan UPSR dan PSRA pada awal bulan September nanti iaitu selepas cuti Hari Raya Aidil Fitri.
Majlis Khatam Al-Quran Bersama
YB Puan Rodziah Ismail, ADUN Batu Tiga merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor juga telah hadir untuk menunaikan Solat Isya, Tarawih dan Witir. Beliau turut menyampaikan sumbangan Ramadhan kepada Surau Al-Husna dan cenderahati untuk para peserta tadarus muslimin dan muslimat dewasa. 

Majlis Khatam Al-Quran telah diadakan selepas solat Witir dengan semua peserta dewasa lelaki dan wanita serta remaja dan kanak-kanak lelaki dan wanita mengambil bahagian dengan dipimpin oleh Ustaz Wan Abdul Halim Wan Abduil Latif.
Majlis Khatam Al-Quran
Peserta tadarus kanak-kanak dan remaja (lelaki dan perempuan) turut diberikan hadiah dan saguhati oleh pihak surau dan tambahan dari seorang dermawan bagi setiap peserta.

Dalam majlis yang sama, sumbangan daripada Surau Al-Husna telah turut disampaikan kepada imam-imam jemputan yang bertugas.

Sesuatu yang jelas dan positif ialah peningkatan dari segi penyertaan untuk semua program sepanjang Ramadhan pada kali ini hingga minggu terakhir. Bermula dengan kuliah sebelum Maghrib, iftar jamai’e setiap hari, solat Maghrib berjemaah, Solat Isya, Solat Tarawih. tadarus dan juga penyertaan/sumbangan moreh sehinggalah solat Subuh berjemaah dan program lain yang telah diatur.

Mudah-mudahan usaha untuk menambah dan mengekalkan penyertaan dalam semua program akan berterusan menjadi istiqamah.

Monday, August 13, 2012

FADHILAT BULAN RAMADHAN...

Di dalam kitab Dhurratun-Nasihin ada menyebutkan:
  1. Ramadhan ertinya membakar (menghapuskan dosa seperti orang menghapuskan karat dari besi dengan membakarnya).
  2. Apabila terbit sahaja anak bulan (hilal) Ramadhan, maka dihiaslah ‘Arash, Kursiy dan segala yang ada di langit. Lalu Allah SWT akan memerintahkan matahari yang terbit pada siang hari, bulan dan segala bintang yang terbit pada waktu malam hari supaya “beristighfar” (memohon keampunan) untuk umat Muhammad SAW yang berpuasa. Allah juga memerintahkan segala burung yang berterbangan di angkasa dan segala haiwan yang melata di bumi serta semua jenis ikan di laut supaya turut beristighfar untuk umat Muhammad SAW yang berpuasa. Seterusnya Allah memerintahkan supaya para malaikat menyerahkan pahala bacaan dan salawat dan ucapan tasbih yang mereka kerjakan kepada umat Muhammad yang berpuasa.
  3. Sabda Rasulullah SAW: “Di dalam bulan Ramadhan, menunaikan ibadat sunat akan diberi ganjaran pahala fardhu (wajib). Amalan yang fardhu pula diberi balasan “70 kali ganda”. Bulan Ramadhan adalah “bulan sabar” dan sabar itu adalah syurga balasannya. Dalam bulan Ramadhan ini akan dilebihkan rezeki hambanya yang berpuasa dan diampunkan diosa-dosanya. Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (berbuka) pahalanya seperti pahala orang yang berpuasa itu."
  4. Sehari menunaikan ibadah puasa Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah SWT akan dijauhkan dari api neraka sebanyak 70 tahun perjalanan.
  5. Barangsiapa hadir ke majlis ilmu atau ke majlis zikir di dalam bulan Ramadhan, ditulis baginya setiap langkahnya pahala ibdah setahun dan akan mendapat perlindungan ‘arasy di hari qiamat’
  6. Barangsiapa menunaikan solat berjemaah di dalam bulan Ramadhan, pada setiap reka'at akan dikurniakan sebuah mahligai yang indah cemerlang di Akhirat kelak.
Mari kita berusaha menambahbaik amalan di bulan Ramadhan, semoga sentiasa meningkatkan kualiti amalan dari masa ke semasa.

Sunday, August 12, 2012

Huffaz dari Somalia

Program jalinan antarabangsa Surau Al-Husna Seksyen 20 sebelum ini telah menampilkan beberapa tetamu dan tokoh ilmuan dan huffaz dari Kemboja, Filipina, Indonesia, Mesir, Thailand, Madinah dan Gaza (Palestine).

Pada 9 Ogos 2012 bersamaan 20 Ramadhan 1433 Hijrah, seorang Huffaz bernama Sheikh Ahmad Abdul Rahman Saleh dari Somalia telah hadir ke Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam. Beliau telah hadir dari waktu berbuka puasa bersama para jemaah. Kemudiannya beliau telah mengimamkan solat Isya dan sebelum mengimamkan solat Tarawih beliau telah menyampaikan tazkirah yang diterjemahkan oleh pengiringnya iaitu Saudara Hussein Azeemi Abdullah.
Beliau yang berusia 29 tahun berasal dari daerah Dadab yang bersempadan dengan Kenya disebelah utara. Menurut beliau penduduk Somalia adalah muslim secara keseluruhannya. Kehadiran beliau telah dikelolakan dengan kerjasama pihak HALUAN Malaysia. 

Tazkirah beliau adalah berdasarkan pengajaran-pengajaran yang didapati daripada petikan ayat-ayat Al-Quran yang beliau perdengarkan.
Semasa majlis yang sama, kutipan derma "Prihatin Somalia" turut dilaksanakan untuk memberi peluang kepada para jemaah membuat sumbangan.
Beliau turut menyatakan kegembiraan atas sambutan dan layanan yang diberikan oleh para jemaah dan berharap hubungan ini berterusan di masa akan datang.
Semasa jamuan moreh selepas solat Tarawih dan Witir, rata-rata para jemaah menyatakan komen bahawa mereka tidak begitu perasan bahawa solat diimamkan oleh seorang Huffaz dari Somalia. Ini adalah kerana bacaan Al-Quran beliau tiada langsung kedengaran loghat asing, malah seperti bacaan hafiz tempatan…

Kunjungan dari Sabah

Ustaz Abdul Karim Al-Hafiz, yang merupakan antara pendokong kepada pembangunan Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Hafidz, Bandar Sierra, Kota Kinabalu Sabah telah berkunjung ke Surau Al-Husna pada 4 Ogos 2012 bersamaan 15 Ramadhan 1433 Hijrah.
Ini merupakan kunjungan kedua beliau ke Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam.

Kunjungan pada bulan Ramadhan ini memberi peluang kepada beliau untuk mengimamkan Solat Isyak dan Tarawih. Selepas solat Tarawih dan Witir beliau telah meluangkan masa untuk menyampaikan tazkirah dengan merujuk kepada ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. 

Di samping itu beliau turut menyampaikan kisah usaha-usaha mengumpul dana yang sedang dilakukan bersama rakan-rakan lain dalam membina bangunan sendiri Sekolah Rendah Islam yang semakin luas penerimaannya di negeri Sabah. Beliau turut mempelawa para dermawan untuk turut memberi sumbangan bagi merealisasikan pembinaan SRI Al-Hafidz bagi membantu memenuhi tuntutan fardhu kifayah.

Beliau yang merupakan Hafiz Al-Quran adalah lulusan dari Maahad Tahfiz Darul Quran Repek, Pasir Mas Kelantan; Madrasah Fizilalil Quran Kota Belud Sabah dan Pondok Pasir Tumbuh.
Ibubapanya memeluk agama Islam semasa Ustaz Abdul Karim masih dalam kandungan ibunya.

Pada masa ini sedang berusaha bersama rakan-rakan untuk membangunkan SRI Al-Hafidz di tapak yang sudah diperolehi. Ketika ini sekolah berkenaan yang dtubuhkan sejak tahun 2010, beroperasi di bangunan rumah kedai. 

Sumbangan boleh dibuat dalam bentuk wakaf atau sumbangan tunai. Sesiapa yang berhasrat membuat sumbangan boleh berhubung dengan Ustaz Mohd Anuar Ali di talian (telefon/fax sekolah) 088-473978 atau e-mail sri_alhafidz11@yahoo.com.

Semoga usaha menyebarkan syiar Islam seumpama ini memperoleh ganjaran pahala yang berterusan.

Thursday, August 9, 2012

...Dan tunaikanlah zakat..

Kaunter Zakat Fitrah dan Amil Zakat di Surau Al-Husna...

Dibuka pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat bersamaan 6, 8 dan 10 Ogos 2012 (17, 19 dan 21 Ramadhan). Amil zakat adalah dipinjamkan dari Surau Hamideen Seksyen 19.

Kadar bayaran zakat fitrah di negeri Selangor pada tahun ini ditetapkan pada RM7 seorang.
Kaunter zakat fitrah : Amil zakat di sebelah kanan
Sedikit ulangkaji untuk meningkatkan kefahaman...

LIMA RUKUN ISLAM:
1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Mendirikan solat.
3. Menunaikan zakat.
4. Berpuasa di bulan Ramadhan.
5. Menunaikan haji di Baitullah bagi yang berkemampuan.


Menunaikan zakat apabila cukup segala syaratnya. Zakat disenaraiakn sebagai rukun ketiga, sering digandingkan dengan solat demi menunjukkan Islam amat mengutamakan amalan ijtimai (kemasyarakatan) dalam kehidupan umatnya.

ZAKAT FITRAH DAN DALILNYA:

Zakat fitrah adalah wajib. Dalil kewajipan zakat fitrah antaranya ialah hadis dari Ibnu Umar r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah memfardhukan zakat fitrah iaitu segantang tamar atau segantang gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar dari kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan supaya ia ditunai sebelum orang ramai keluar pergi menunaikan sembahyang (hari raya)” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

WAKTU MENGELUARKAN FITRAH

Terbahagi kepada 5:
> Waktu wajib – Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya (Syawal).
> Waktu paling afdhal – sebelum solat aidil fitri
> Wajtu sunat – Sepanjang bulan Ramadhan
> Waktu makruh – Selepas solat aidil fitri sehingga terbenam matahari pada satu Syawal
> Waktu haram – Selepas terbenam matahari satu Syawal

…Maka sesiapa mengeluarkan (fitrah) sebelum sembahyang Hari Raya itulah zakat yang diterima dan sesiapa mengeluarkannya sesudah sembahyang Hari Raya maka pengeluarannya itu merupakan sedekah sahaja. (Riwayat Ibnu Majah)

Sunday, August 5, 2012

Empat Elemen Taqwa...

Kuliah Subuh bulanan oleh YBhg Ustaz Muhammad Dasuqhi bin Muhammad Sirajudin pada hari Sabtu 4 Ogos bersamaan 15 Ramadhan.  

Antara kandungan kuliah kali ini ialah berkaitan empat elemen taqwa sebagaimana pernah disampaikan oleh Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah seperti berikut:
  • Takut kepada Allah dalam setiap perkara, 
  • Sentiasa redha dengan pemberian Allah walau pun sedikit, 
  • Sentiasa melaksanakan sistem Islam dalam kehidupan sebagaimana yang telah diturunkan oleh Allah melalui al-Quran.
  • Sentiasa bersedia dengan bekalan terbaik bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Marilah kita mengambil pengajaran dan berusaha meningkatkan taqwa.

Ukhuwwah dari Palestine

Surau Al-Husna menerima kehadiran Sheikh Mus'ab Ismail dan Sheikh ‘Ahed Bashir Zeino pada Jumaat 3 Ogos 2012 bersamaan 14 Ramadhan. Mereka adalah para Huffaz (Hafiz Al-Quran) dari Gaza, Palestine. Mereka diiringi oleh saudara Mohd Taqiyuddin bin Abdullah dan Syed Hasan Syed Hamid.
 Sheikh ‘Ahed Bashir Zeino (kiri berserban) Sheikh Mus'ab Ismail (kanan)
Kehadiran mereka adalah dikelolakan oleh pihak HALUAN Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia.

Bermula dengan majlis berbuka ringkas dan diikuti solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh  Sheikh Mus'ab Ismail . Beliau pernah dipenjarakan di Israel selama beberapa kali sejak tamat persekolahan dan yang terakhir selama 8 tahun semasa berada di tahun akhir pengajian di universiti.
Usai solat Magrib, mereka dihidangkan jamuan makan malam dengan makanan Malaysia antaranya “nasi ayam” dan kuih-muih. Kelihatannya mereka boleh menjamah makanan ini…

Solat Isya pula diimamkan oleh Sheikh ‘Ahed Bashir Zeno yang juga merupakan seorang Imam di sana. Sejurus sebelum meneruskan solat Tarawih, kedua-duanya menyampaikan tazkirah yang diterjemahkan oleh Saudara Mohd Taqiyuddin bin Abdullah.
Kehadiran Muslimat
Sheikh Mos’ab memulakan tazkirah dengan menyatakan penghormatan yang tinggi kepada semua hadirin dan gembira melihat cahaya Islam di Malaysia.  Beliau menyatakan tentang nikmat ukhuwwah terhadap masyarakat Palestine dan pertalian yang kuat dengan masyarakat Malaysia.
Beliau amat gembira dengan penerimaan kehadiran mereka di kalangan masyarakat Malaysia, meskipun banyak perkara yang ingin disampaikan namun kekangan masa yang berlalu pantas tidak mengizinkan untuk beliau berbuat demikian pada kali ini.

Perkara lain yang turut disentuh ialah tentang perkembangan di Palestine berkaitan Masjidil Aqsa yang menjadi hak bukan sekadar penduduk Palestine malahan seluruh umat Islam dan perlu dipertahankan hingga titisan darah terakhir.  Menurut beliau, ketika ini perancangan Israel adalah untuk memusnahkan Masjidil Aqsa dengan menggali di sekeliling masjid dengan andaian sekiranya berlaku gempa yang kecil sekalipun akan meruntuhkan masjid tersebut. Israel menghalang apa juga usaha oleh umat Islam untuk membuat pembaikan pada kerosakan yang berlaku.
Beliau turut berkongsi pengalaman dipenjarakan oleh pihak Israel yang beliau nyatakan seperti lebih baik mati daripada menerima pelbagai bentuk siksaan yang dilakukan ke atas para tahanan yang amat sukar digambarkan dengan kata-kata.

Selepas tazkirah kedua-dua mereka mengimamkan solat Tarawih dan Witir secara bergilir. Sebagai menyatakan kegembiraan mereka kemudiannya memperdengarkan bacaan Qasidah dan membacakan beberapa petikan ayat-ayat Al-Quran dari pelbagai kaedah bacaan dari Imam-imam terkenal dan meminta para hadirin membuat tekaan.

Pada masa yang sama jemaah dan para hadirin turut berpeluang memberi sumbangan kepada tabung Palestine.

Semoga jalinan ukhwwah antarabangsa seperti ini akan berterusan.