info-Solat

Tuesday, July 31, 2012

Kunjungan dari Mesir...


Jalinan Antarabangsa - Mesir
Sheikh Ashraf Hamid Hasanin, dari Universiti Al-Azhar, Mesir telah sudi meluangkan masa untuk menjadi Imam Solat Subuh dan seterusnya menyampaikan tazkirah ringkas pada subuh hari Isnin, 30 Julai 2012 (bersamaan 10 Ramadhan).
Beliau berada di Malaysia selama satu minggu dan mempunyai jadual yang padat, bermula dengan mengimamkan solat di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya (Masjid Besi), beberapa buah masjid di Petaling Jaya dan seterusnya ke masjid-masjid di Alor Setar, Kedah.

Jemaah Surau Al-Husna Seksyen 20 amat bertuah atas kesudian beliau menjadikan surau ini sebagai salah satu tempat persinggahan di antara jadual beliau. 
Beliau diiringi oleh YBhg Ustaz Fahmi Idris yang juga bertindak menterjemah tazkirah ringkas sesudah solat  Subuh. Antara intipati tazkirah beliau ialah tentang kepentingan solat berjemaah di surau dan masjid bagi setiap ahli masyarakat sebagaimana ditekankan dalam hadis Rasulullah SAW. 

Di samping itu, beliau menyentuh tentang keutamaan meningkatkan ilmu pengetahuan Islam dan beramal soleh dari umur muda dengan berguru demi memantapkan ilmu dan amalan. Beliau membuat seruan untuk bermujahadah dalam melaksanakan amal ibadah termasuk solat berjemaah dengan meninggalkan sifat-sifat malas.

Hubungan seperti ini menjadi sebahagian dari program jalinan antarabangsa Surau Al-Husna dan sebagai salah satu usaha melaksanakan program yang inovatif melalui perkongsian ilmu dalam meningkatkan ukhuwwah Islamiyah. Insya Allah.

Monday, July 30, 2012

Kategori Orang Berpuasa...

Marilah kita berusaha untuk meningkatkan tahap ibadah puasa Ramadhan kita pada tahun ini kepada kategori yang lebih baik dari tahun-tahun yang telah berlalu:


1. Puasa Awam:
Sekadar menahan diri dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

2. Puasa Khusus:
Tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bahkan menjaga lidah, mata, telinga dan anggota badan dari melakukan maksiat.

3. Puasa Khususul Khusus:
Tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, menjaga pancaindera dan anggota badan dari maksiat, bahkan hatinya berpuasa dari mengingati dunia.
Semoga kita sentiasa berusaha mencapai kategori tertinggi iaitu kategori para anbia dan solehin. 

Sentiasa menjaga solat berjemaah di surau dan masjid terutamanya selepas sahaja berbuka puasa, kerana pada waktu itu malam bermula dan kita berusaha memperolehi malam Lailatul Qadar dengan menjaga lima amalan asas.

Bermula dengan solat Maghrib berjemaah di permulaan malam, solat Isyak dan Solat Tarawih berjemaah di pertengahan malam, diikuti bertahajud dan qiyam pada satu pertiga di penghujung malam, dan disudahi dengan solat Subuh berjemaah, setiap hari sepanjang bulan Ramadhan. 

Penghayatan Ramadhan ...

Menghayati Ramadhan secara berjemaah di Surau Al-Husna di samping amalan-amalan lain secara individu.

SOLAT TARAWIH
Tahun kedua Surau Al-Husna menemui Ramadhan kali ini dengan penggunaan bangunan baru. Solat Tarawih dilaksanakan dalam suasana yang lebih selesa berbanding selama lebih 8 tahun beroperasi di “surau kabin” dan berbanding ketika bangunan baru mula digunakan. 

Banyak keperluan asas yang telah dilengkapkan atau dilakukan penambahbaikan yang sebahagian besar adalah hasil sumbangan jemaah dan para dermawan yang diharap dapat meningkatkan keselesaan dalam melaksanakan amal ibadah.

IMAM JEMPUTAN
Sepanjang bulan Ramdhan tahun ini pihak Surau Al-Husna mendapat khidmat dua orang Imam iaitu Ustaz Anas yang mengajar di Maahad Tahfiz Nurul Huda, Seksyen 19, Shah Alam dan Ustaz Abdul Halim Abdul Latif dari Pondok Pengajian Islam Padang Posu, Pattani.  Kedua-duanya berasal dari Pattani, Thailand. 

Ustaz Abdul Halim juga sedang mengusahakan pembinaan Pusat Pengajian Islan Riyadus Solihin di Kampung Sungai Mundok, Yala.  

TAZKIRAH DAN MAJLIS-MAJLIS ILMU
Tazkirah ringkas disampaikan oleh YBhg Ustaz Haji Mohd Takiyuddin Ibrahim yang juga Pengerusi Surau Al-Husna. Kuliah disampaikan setiap kali sebelum solat Tarawih. Pada 10 hari pertama ini, beliau mengupas maksud dan huraian Surah Al-Munaafiquun, ayat 1-11 secara menyeluruh. Ia merangkumi contoh-contoh serta ciri-ciri golongan munafiq dan pengajaran yang boleh diambil bagi mengelak sifat-sifat munafiq.

Manakala Ustaz Abdul Halim, selain menjadi Imam jemputan, beliau juga menyampaikan dua kuliah berkitab secara berasingan dan mengadakan klinik bacaan Al-Quran bagi kumpulan jemaah dewasa lelaki.

Kuliah berkitab “Penawar Bagi Hati” diadakan selama 20 minit setiap hari sebelum masuk waktu berbuka dan tambahan selepas solat Zohor pada hari Sabtu dan Ahad. Manakala kuliah Subuh daripada beliau pada setiap hari Ahad adalah berpandukan kepada kitab "Munyatul Musoli" karangan Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathoni.

Kuliah Subuh berkitab juga diadakan pada setiap hari Sabtu dan disampaikan oleh YBhg Ustaz Wan Rahiman dari Universiti Islam Antarabangsa. Kuliah beliau adalah berdasarkan kitab "Al-Ukhuwwah Al-Islamiyah".  Beliau adalah juga ahli kariah Surau Al-Husna Seksyen 20.

TADARUS DAN KLINIK AL-QURAN
Mulai Ramadhan tahun ini, Surau Al-Husna mewujudkan dua kumpulan tadarus. Kumpulan pertama terdiri dari kalangan jemaah yang lancar pembacaan Al-Quran dan kumpulan kedua menyertai Klinik Al-Quran yang dibimbing oleh YBhg Ustaz Abdul Halim yang juga Imam jemputan.

Peserta Klinik Al-Quran tidak terikat untuk khatam Al-Quran pada bulan Ramadhan ini, sebaliknya adalah untuk memperbaiki kualiti pembacaan, sebutan dan tajwid.  

Selain dari kumpulan dewasa lelaki, kumpulan tadarus remaja dan muslimat juga diteruskan sebagaimana pada tahun-tahun sebelumnya.  Kumpulan remaja dibimbing oleh Ustaz Mohd Takiyuddin dan Haji Ainul Adnan Abdul Rahman secara bergilir.
Tadarus dan klinik Al-Quran diadakan pada setiap hari selepas selesai Solat Tarawih dan disambung selepas kuliah Subuh pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

QIYAMULAIL

Program secara berjemaah ini dirancang pelaksanaannya pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Dimulakan antara jam 3:45 pagi hingga jam 5:00 pagi. Dipenuhi dengan solat-solat Tahajud, Solat Taubat dan Solat Hajat yang diselang-selikan dengan wirid, zikir dan doa.

Thursday, July 19, 2012

Lawatan oleh “River Ranger” MPK

Sekumpulan ahli River Rangerdari Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Surau Al-Husna pada hari Rabu, 18 Julai 2012 mulai jam 2:00 petang.  Ahli-ahli “River Ranger” yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, lelaki dan wanita meluangkan masa kira-kira satu jam. Mereka diberi penerangan di ruang surau serta lawatan pusat kitar semula Surau Al-Husna di halaman belakang surau.
Lawatan yang dikelolakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) ini adalah berkaitan dengan aktiviti pemeliharaan sumber air. Mereka telah disambut oleh Pengerusi dan berberapa Ahli Jawatankuasa Surau yang masih berada di surau selepas solat Zohor. Taklimat disampaikan oleh Pengerusi Surau Al-Husna, Ustaz Haji Mohd Takiyuddin Ibrahim dan Pegawai LUAS, Encik Mazlan Idrus.

Antara lain lawatan sambil belajar ini meninjau aktiviti “up-stream” pemeliharaan alam sekitar dan sumber air yang dilaksanakan oleh Surau Al-Husna melalui Program Kitar Semula Barangan (2005), Pengumpulan Minyak Masak Terpakai  (2008) dan Sistem Penuaian dan Pengumpulan Air Hujan (2012).


Mudah-mudahan mereka memperolehi manfaat dari lawatan dan perkongsian pengalaman ini.

Tuesday, July 17, 2012

Perkongsian Ilmu dari Madinah ...

Program Kuliah Maghrib Pra-Ramadhan pada hari Ahad 15 Julai 2012 (25 Syaaban 1433 Hijrah) menampilkan YBhg. Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim, dari Universiti Taibah, Madinah yang kebetulan sedang bercuti di Malaysia.
Ini merupakan kehadiran beliau kali pertama ke Surau Al-Husna  Seksyen 20, Shah Alam yang kebetulan menjangkau usia setahun penggunaan bangunan baru fasa 1 yang siap di bina pada Julai 2011.

Beliau menyampaikan kuliah Maghrib selama lebih 1 jam 30 minit dengan cara penyampaian yang mudah. 
Pelbagai perkara yang beliau sampaikan melalui kuliah Maghrib ini berserta pengajaran-pengajaran tersirat yang mudah-mudahan bukan setakat terpahat di hati para hadirin, malah diterjemah dan dimanfaatkan sebagai inspirasi dan motivasi dalam menambahbaik ilmu dan amal.

Sambil merujuk kepada maksud ayat-ayat Al-Quran dan Hadis sepanjang kuliah, beliau turut menyelitkan pelbagai peristiwa dan analogi yang menarik tentang usaha untuk berubah, menerima perubahan dan nikmat dari perubahan...Kesemuanya adalah disandarkan semata-mata kepada kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.

Menariknya kuliah Maghrib ini menjadi sebahagian jadual program Prof. Dr. Muhd. Kamil yang dirakam pihak TV3…


Selesai kuliah dan solat Isyak, YBhg Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim turut meluangkan masa bersama hadirin menyambung tazkirah di meja makan sambil menjamah makanan biasa-biasa … dan melayani permintaan autograf.. 


Semoga segala ilmu yang dikongsikan menjadi manfaat dan beliau beroleh ganjaran pahala berpanjangan.  Kita berdoa pertemuan ini menjadi permulaan untuk pertemuan seterusnya dalam majlis-majlis ilmu seumpama ini…


Thursday, July 12, 2012

Jalinan Antarabangsa - Filipina

Surau Al-Husna menerima kunjungan daripada Ust. Abu Bakar Sidiq Saripadda dari Marawi City, Mindanao Philippines, pada hari Rabu 11 Julai 2012. Beliau merupakan Pengerusi Yayasan Zakat & Wakaf Marawi City (Baitul Zakat Wal Auqaf Foundation).
Beliau telah menyampaikan kuliah Maghrib yang berkisar mengenai cabaran-cabaran Umat Islam di Marawi, Mindanao (Filipina). Kuliah disampaikan dalam dua bahasa iaitu bahasa Arab dan Inggeris. Bahasa Arab diterjemahkan oleh Saudara Nabil Mohd Takiyuddin (yang kebetulan sedang bercuti dari pengajian di Jordan).

Antara lain beliau menceritakan sejarah umat Islam di Marawi, Mindanao yang sejak awal menduduki wilayah tersebut dan sentiasa mempertahankan kedaulatan Islam dan wilayah yang diduduki dari gangguan dan rampasan penjajah mahupun campur tangan pemerintah.

Beliau turut menyentuh mengenai kegiatan pembangunan Islam di wilayah tersebut selain usaha-usaha membantu masyarakat melalui sumbangan zakat.

Beliau turut berdoa agar hubungan ini tidak terhenti setakat ini, malah berterusan secara dua hala di masa akan datang. 

Para jemaah yang hadir turut memberikan sumbangan untuk disalurkan kepada masyarakat di sana.

Monday, July 9, 2012

Kuliah Maghrib bersama Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim

Insya-Allah, YBhg. Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim akan hadir untuk menyampaikan Kuliah Maghrib di Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam pada hari Ahad, 15 Julai 2012. Majlis akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah.

Kita mendoakan semoga beliau dipermudahkan dalam segala urusan dalam menyampaikan dakwah kepada khalayak umum.

Dari masa ke semasa pihak Surau Al-Husna berusaha mengadakan program-program yang inovatif yang diharapkan dapat menarik minat  pelbagai lapisan masyarakat dari semua peringkat umur untuk turut serta. Di samping solat fardhu berjemaah di surau ini, program-program yang inovatif  juga diharap dapat menambah penyertaan dalam pelbagai program yang diaturkan, termasuk majlis ilmu. 

Menampilkan tokoh-tokoh ilmuan dari pelbagai bidang dan latar-belakang secara berkala diharap mampu mengimarahkan surau secara berterusan.

Bersama kita meraikan kehadiran YBhg. Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim demi menghidupkan taman-taman Syurga dan menambahkan ilmu dengan menyertai program Kuliah Maghrib ini.  Semoga semuanya beroleh ganjaran pahala dan dirahmati Allah SWT.


Semua dijemput hadir!

Nota: Gambar-gambar untuk baner diambil dari Laman Web beliau