info-Solat

Thursday, October 18, 2012

Marathon Ilmu dan Amal...

Program-program meningkatkan ilmu dan amal telahpun disambung kembali mengikut jadual.  Beberapa usaha menambahbaik program telah juga dirangka dengan menampilkan program yang inovatif untuk menarik lebih ramai penyertaan yang berterusan.
Marathon ilmu dan amal diadakan secara berkala sekali dalam sebulan bermula dari bulan September 2012. Program pertama diadakan pada hari Jumaat 26 September. Dimulakan dengan kuliyah Maghrib berkitab (Kitab Munyatul Musolli) disampaikan YBhg. Ustadz Wan Abdul Halim Wan Abdul Latif. Program sebelah malam diteruskan dengan program Halaqah kanak-kanak dan remaja selepas solat Isyak.  

Klinik Al-Quran pula dijadualkan serentak dengan Halaqah remaja. Dikhaskan untuk golongan dewasa bagi memperbaiki mutu bacaan dan tajwid. Klinik ini adalah juga di bawah bimbingan Ustadz Wan Abdul Halim Wan Abdul Latif. Jamuan makan malam turut disediakan untuk para hadirin dan peserta halaqah.

Seterusnya Qiyamulail 1/3 malam diadakan secara berjemaah bermula jam 4:15 pagi hari Sabtu. Dipimpin oleh YBhg Ustaz Idris Abdullah dari UiTM Shah Alam. Antara solat-solat yang dilaksanakan secara berjemaah ialah solat Taubat, solat Tahajud, solat Tasbih, solat Hajat yang diselang-seli dengan zikir dan wirid. Qiyamulail disudahi dengan solat Witir.
Sesudah solat Subuh berjemaah, diadakan pula Kuliyah Suboh berkitab (Kitab Penawar bagi Hati). Kuliyah disampaikan oleh Ustadz Wan Abdul Halim Wan Abdul Latif. Kuliyah berdasarkan kepada dua kitab ini adalah sambungan dari siri kuliyah yang disampaikan oleh Ustadz Wan Abdul Halim sepanjang bulan Ramadhan baru-baru ini.


Usai kuliyah Suboh, para jemaah disajikan dengan sarapan pagi sambil berbincang dan berukhuwwah. Program bulanan ini akan diteruskan pada bulan-bulan berikut dan notis pemberitahuan akan disebarkan melalui medium berkaitan.

Pada sebelah pagi mulai jam 9:00 pagi pula dijalankan program kitar semula (pemunggahan, pengasingan, menimbang dan penjualan). Gotong-royong ini dapat diselesaikan dalam masa sekitar 3 jam. Hasil jualan pada kali ini berjumlah hampir RM600.

(NOTA: Ustadz Wan Abdul Halim datang dari Madrasah beliau di Wilayah Pattani (Selatan Thailand). Beliau menaiki bas dari Pattani ke Rantau Panjang, Kelantan, kemudian dari Rantau Panjang ke Shah Alam pada sebelah malam dan tiba pada pagi hari Jumaat. Kemudiannya bertolak kembali ke madrasah beliau pada sebelah pagi hari Sabtu selepas kuliyah Subuh dan sarapan pagi. Program ini disusun berterusan sepanjang keberadaan beliau di Surau Al-Husna.)

No comments: