info-Solat

Thursday, February 5, 2009

PROGRAM KITAR SEMULA SISA MINYAK MASAK

Bersama DUN Batu Tiga Shah Alam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP); Surau AL-Husna Seksyen 20, Shah Alam mengadakan Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak seperti berikut;

Tarikh: 7 Februari 2009
Hari: Sabtu
Masa: Mulai 4.30 petang
Tempat: Tapak Pasar Malam Seksyen 19, Shah Alam.

(Sila rujuk baner dan pekeliling yang diedarkan untuk maklumat lanjut)

K I T A R S E M U L A boleh ditakrifkan sebagai proses memperolehi atau menjadikan sebahagian atau semua bahan samada dari sisa pepejal (sampah) atau sisa minyak masak untuk digunakan semula dalam bentuk lain. Sampah domestik selalunya mengandungi bahan kertas, plastik, tin, kaca dan sisa organik dari dapur rumah, gerai makan, restoran atau pasar malam. Sisa organik termasuklah batang sayur, perut ikan dan kulit ayam selain sisa minyak masak yang kurang diberi perhatian. Sisa minyak tersebut selalunya dikumpulkan ke dalam botol dan dilupuskan bersama sampah sarap dan sisa makanan. Cara senang tetapi SALAH ialah dengan melupuskan minyak tersebut terus ke dalam sinki dan longkang atau saluran pembentung.

Setiap hari semua dari kita baik golongan dewasa, pelajar atau anggota masyarakat telah menjadikan rumah kediaman sebagai kilang yang menghasilkan produk berupa sampah sarap dan sisa minyak tetapi kurang cerdik untuk menguruskannya. Dalam erti kata lain konsep 3R (Recycle, Reduce dan Reuse) yang begitu mudah dan murah, yang sepatutnya diamalkan telah tidak digunapakai dan akhirnya masyarakat sendiri terpaksa membayar dengan harga yang lebih mahal apabila kos penyelengaraan sampah semakin bertambah tinggi.

Lebih menyedihkan, alam sekitar menjadi mangsanya apabila lebih banyak hutan ditebang untuk menghasilkan kertas, tanah dibuka untuk tapak pelupusan, sungai-sungai dipenuhi sampah dan sisa minyak sehingga menjejaskan sumber air minuman dan sumber protein seperti ikan dan hidupan akuatik yang lain (kesan kaseinogenik). Pencemaran sumber air, banjir kilat dan pemanasan global telah menjadi isu mutakhir akibat perbuatan tangan manusia sendiri.

Pada 2006, jumlah sampah penduduk bandar di Malaysia lebih kurang 8 juta tan (20,000 tan/hari). Purata sampah dihasilkan ialah 1.3 kg per kapita berbanding 0.8 kg per kapita pada tahun 1998 (semakin meningkat). Ini ialah kerana amalan dan kesedaran untuk mengitar semula di kalangan masyarakat kita masih rendah iaitu hanya sekitar 5%.

Hakikatnya, sampah dan sisa buangan tersebut boleh dikitar semula dan bernilai dari segi ekonomi dan alam sekitar. Masyarakat setempat tidak sepatutnya melupus semua bahan tersebut ke dalam tong sampah/dihantar ke tapak pelupusan sampah sebaliknya MESTI di kumpulkan di dalam rumah, diasingkan jenisnya dan dihantar ke Pusat Kitar Semula, Pusat Komuniti, Surau atau ke Sekolah yang ada program kitar semula.

Atas dasar inilah, maka pihak Komuniti Surau Al-Husna dengan kerjasama ADUN Batu Tiga, MPP Zon 7 dan agensi Kerajaan seperti MBSA dan LUAS mengorak langkah melaksanakan Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak bagi menyokong hasrat kerajaan dalam kempennya untuk meningkatkan amalan kitar semula di kalangan masyarakat terutama DUN Batu Tiga sekaligus memelihara sumber air dan alam semulajadi.

Pusat Kitar Semula Berhampiran :

Ø Surau Al-Husna, Jalan Landak 20/13, Seksyen 20
Ø Pusat Kitar Semula Al-Husna, Dewan Alamanda
Ø Sekolah Kebangsaan Seksyen 20
Ø Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19

OBJEKTIF:

· Memberi kesedaran awam tentang kepentingan amalan kitar semula sisa minyak masak selain sisa pepejal ke arah mewujudkan komuniti pengitar semula.

· Mengurangkan masalah longkang tersumbat, berbau busuk, gangguan kepada sistem pembentung dan pencemaran kepada sistem saliran dan sumber air (sungai dan laut)

· Mencegah penyakit berjangkit seperti demam denggi, chikungunya dan penyakit bawaan tikus, lipas dan lalat.

· Mengukuhkan institusi masyarakat dan menjana pendapatan untuk Tabung Surau/Persatuan/PIBG hasil dari penjualan bahan kitar semula.


PROGRAM KITAR SEMULA SISA MINYAK MASAK

APAKAH HASIL DARI SISA MINYAK ?

1) BAHAN BIODIESEL – merupakan bahan api alternatif kepada minyak petroleum yang semakin terhad. Alam sekitar juga terpelihara kerana biodiesel lebih mesra alam.

2) BAHAN PENCUCI – merupakan produk yang dihasilkan untuk kegunaan cucian kasar seperti pencuci lantai dan tandas.

3) BAHAN MAKANAN TERNAKAN – merupakan campuran yang terdapat dalam pembuatan makanan haiwan ternakan.

4) BAHAN LILIN – merupakan produk yang dihasilkan dari sisa minyak masak.

KEBAIKAN AMALAN KITAR SEMULA

i) Taman perumahan, restoran, sistem saliran dan Bandaraya akan bersih serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat melahirkan bangsa yang sihat dan ceria.

ii) Ekosistem alam semulajadi seperti hutan, sungai (Sungai Klang), wetlands, paya bakau dan laut akan terpelihara dari sebarang pencemaran dan menyumbang kepada sumber air bersih, makanan segar dan meningkatkan sektor pelancongan.

iii) Penggunaan sumber secara optima dan mengurangkan import bahan mentah, kos bahanapi, tapak pelupusan sampah dan akhirnya mengurangkan pemanasan global (Climate Change).

(Tulisan sumbangan Saudara Mazlan Idrus, AJK Surau Al-Husna)