info-Solat

Thursday, August 16, 2012

Iftar Perdana 2 ...

Iftar Perdana kali ke-2 pada Ramadhan ini di Surau Al-Husna telah berlangsung pada hari Selasa 14 Ogos 2012 bersamaan 25 Ramadhan 1433 Hijrah. Program berlangsung dengan beberapa acara lain termasuk khatam Al-Quran dan penyampaian sumbangan kepada asnaf, anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal.
Kuliah Penawar Bagi Hati Sebelum iftar
Bersempena dengan iftar perdana kali ini telah diadakan beberapa program antaranya Kuliah oleh Ustaz Wan Abdul Halim Wan Abdul Latif yang menyambung kuliah berdasarkan kitab Penawar Bagi Hati. Kuliah yang dimulakan sejak hari pertama Ramadhan merupakan kuliah terakhir pada Ramadhan kali ini kerana beliau akan bertolak pulang ke kampung halaman pada pagi hari Rabu 15 Ogos.
Kuliah Ustaz Wan Abdul Halim 
Iftar kali ini diserikan dengan kehadiran beberapa orang pemimpin tempatan, antaranya YBhg Dato’ Ahmad Nawawi Md Zin bersama Tuan Haji Zulkurnain Mohd Ruslan dari Pejabat Penyelaras Parlimen Shah Alam dan DUN Batu Tiga serta rombongannya.  Turut hadir ialah Pengerusi MPP Zon 7, Tuan Haji Haris Abu Bakar. Mereka turut berkesempatan mengikuti kuliah sebelum majlis iftar.

Sebagaimana Iftar Perdana 1, pada 6 Ogos (17 Ramadhan), Iftar Perdana 2, kali ini masih mengekalkan dua konsep, iaitu pihak surau menyediakan menu utama dan disokong oleh menu sumbangan dari Restoran Seri Bunga Seksyen 20 dan menu tambahan secara potluck sumbangan dari kalangan jemaah. Konsep ini memberi peluang kepada semua untuk beramal jariah.

Berbeza dengan Iftar Perdana 1 yang menyajikan menu utama seperti Sup Daging dan Ikan Patin (Sungai Pahang) goreng, menu utama pada kali ini ialah bubur lambuk istimewa yang dimasak oleh Chef utama Tuan Haji Hassan Mohd Ali dan Sdra Mohd Fareh Mohd Zaid dengan dibantu oleh kalangan jemaah yang berkelapangan.
Majlis Khatam Tadarus Al-Quran
Selepas solat Maghrib berjemaah dan makan malam, satu acara ringkas penyampaian sumbangan Ramadhan oleh YBhg Dato’ Ahmad Nawawi dan cenderahati oleh Tuan Haji Zulkurnain kepada YBhg Ustaz Haji Mohd Takiyuddin Ibrahim selaku Pengerusi Surau Al-Husna.
Khatam Al-Quran dipimpin Ustaz Wan Abdul Halim
Selepas solat Isya diadakan pula Solat Hajat untuk mendoakan keselamatan mereka yang akan mula pulang ke kampung, mereka yang tinggal dan juga untuk anak-anak yang akan menduduki peperiksaan UPSR dan PSRA pada awal bulan September nanti iaitu selepas cuti Hari Raya Aidil Fitri.
Majlis Khatam Al-Quran Bersama
YB Puan Rodziah Ismail, ADUN Batu Tiga merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor juga telah hadir untuk menunaikan Solat Isya, Tarawih dan Witir. Beliau turut menyampaikan sumbangan Ramadhan kepada Surau Al-Husna dan cenderahati untuk para peserta tadarus muslimin dan muslimat dewasa. 

Majlis Khatam Al-Quran telah diadakan selepas solat Witir dengan semua peserta dewasa lelaki dan wanita serta remaja dan kanak-kanak lelaki dan wanita mengambil bahagian dengan dipimpin oleh Ustaz Wan Abdul Halim Wan Abduil Latif.
Majlis Khatam Al-Quran
Peserta tadarus kanak-kanak dan remaja (lelaki dan perempuan) turut diberikan hadiah dan saguhati oleh pihak surau dan tambahan dari seorang dermawan bagi setiap peserta.

Dalam majlis yang sama, sumbangan daripada Surau Al-Husna telah turut disampaikan kepada imam-imam jemputan yang bertugas.

Sesuatu yang jelas dan positif ialah peningkatan dari segi penyertaan untuk semua program sepanjang Ramadhan pada kali ini hingga minggu terakhir. Bermula dengan kuliah sebelum Maghrib, iftar jamai’e setiap hari, solat Maghrib berjemaah, Solat Isya, Solat Tarawih. tadarus dan juga penyertaan/sumbangan moreh sehinggalah solat Subuh berjemaah dan program lain yang telah diatur.

Mudah-mudahan usaha untuk menambah dan mengekalkan penyertaan dalam semua program akan berterusan menjadi istiqamah.

No comments: