info-Solat

Monday, July 30, 2012

Penghayatan Ramadhan ...

Menghayati Ramadhan secara berjemaah di Surau Al-Husna di samping amalan-amalan lain secara individu.

SOLAT TARAWIH
Tahun kedua Surau Al-Husna menemui Ramadhan kali ini dengan penggunaan bangunan baru. Solat Tarawih dilaksanakan dalam suasana yang lebih selesa berbanding selama lebih 8 tahun beroperasi di “surau kabin” dan berbanding ketika bangunan baru mula digunakan. 

Banyak keperluan asas yang telah dilengkapkan atau dilakukan penambahbaikan yang sebahagian besar adalah hasil sumbangan jemaah dan para dermawan yang diharap dapat meningkatkan keselesaan dalam melaksanakan amal ibadah.

IMAM JEMPUTAN
Sepanjang bulan Ramdhan tahun ini pihak Surau Al-Husna mendapat khidmat dua orang Imam iaitu Ustaz Anas yang mengajar di Maahad Tahfiz Nurul Huda, Seksyen 19, Shah Alam dan Ustaz Abdul Halim Abdul Latif dari Pondok Pengajian Islam Padang Posu, Pattani.  Kedua-duanya berasal dari Pattani, Thailand. 

Ustaz Abdul Halim juga sedang mengusahakan pembinaan Pusat Pengajian Islan Riyadus Solihin di Kampung Sungai Mundok, Yala.  

TAZKIRAH DAN MAJLIS-MAJLIS ILMU
Tazkirah ringkas disampaikan oleh YBhg Ustaz Haji Mohd Takiyuddin Ibrahim yang juga Pengerusi Surau Al-Husna. Kuliah disampaikan setiap kali sebelum solat Tarawih. Pada 10 hari pertama ini, beliau mengupas maksud dan huraian Surah Al-Munaafiquun, ayat 1-11 secara menyeluruh. Ia merangkumi contoh-contoh serta ciri-ciri golongan munafiq dan pengajaran yang boleh diambil bagi mengelak sifat-sifat munafiq.

Manakala Ustaz Abdul Halim, selain menjadi Imam jemputan, beliau juga menyampaikan dua kuliah berkitab secara berasingan dan mengadakan klinik bacaan Al-Quran bagi kumpulan jemaah dewasa lelaki.

Kuliah berkitab “Penawar Bagi Hati” diadakan selama 20 minit setiap hari sebelum masuk waktu berbuka dan tambahan selepas solat Zohor pada hari Sabtu dan Ahad. Manakala kuliah Subuh daripada beliau pada setiap hari Ahad adalah berpandukan kepada kitab "Munyatul Musoli" karangan Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathoni.

Kuliah Subuh berkitab juga diadakan pada setiap hari Sabtu dan disampaikan oleh YBhg Ustaz Wan Rahiman dari Universiti Islam Antarabangsa. Kuliah beliau adalah berdasarkan kitab "Al-Ukhuwwah Al-Islamiyah".  Beliau adalah juga ahli kariah Surau Al-Husna Seksyen 20.

TADARUS DAN KLINIK AL-QURAN
Mulai Ramadhan tahun ini, Surau Al-Husna mewujudkan dua kumpulan tadarus. Kumpulan pertama terdiri dari kalangan jemaah yang lancar pembacaan Al-Quran dan kumpulan kedua menyertai Klinik Al-Quran yang dibimbing oleh YBhg Ustaz Abdul Halim yang juga Imam jemputan.

Peserta Klinik Al-Quran tidak terikat untuk khatam Al-Quran pada bulan Ramadhan ini, sebaliknya adalah untuk memperbaiki kualiti pembacaan, sebutan dan tajwid.  

Selain dari kumpulan dewasa lelaki, kumpulan tadarus remaja dan muslimat juga diteruskan sebagaimana pada tahun-tahun sebelumnya.  Kumpulan remaja dibimbing oleh Ustaz Mohd Takiyuddin dan Haji Ainul Adnan Abdul Rahman secara bergilir.
Tadarus dan klinik Al-Quran diadakan pada setiap hari selepas selesai Solat Tarawih dan disambung selepas kuliah Subuh pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

QIYAMULAIL

Program secara berjemaah ini dirancang pelaksanaannya pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Dimulakan antara jam 3:45 pagi hingga jam 5:00 pagi. Dipenuhi dengan solat-solat Tahajud, Solat Taubat dan Solat Hajat yang diselang-selikan dengan wirid, zikir dan doa.

No comments: