info-Solat

Monday, May 7, 2012

WAKAF BUKU / KITAB

Rak buku yang terdapat di Surau Al-Husna di bahagikan kepada TIGA kategori.

1. Rak untuk buku-buku dan kitab-kitab pilihan
2. Rak untuk kitab Al-Quran
3. Rak untuk buku-buku bacaan kanak-kanak / remaja
Buku-buku dan kitab-kitab yang diwakafkan adalah untuk kegunaan semasa siri kuliah berkitab.


Antara tajuk-tajuk kitab yang diwakafkan ialah:


1. Tanbihul Ghafilin
2. Syarah Al-Hikam
3. Tafsir Al-Quran
4. Sirah Rasulullah S.A.W.
5. Apa artinya saya menganut Islam
6. Memahami Keindahan Surah Al-Kahfi
Rak kitab Al-Quran, Naskah Surah-surah pilihan dan Al-Mathurat adalah untuk kegunaan harian.


Manakala buku-buku dan majalah untuk bacaan remaja dan  kanak-kanak termasuk buku-buku pelajaran, buku cerita dan pengetahuan am dalam  bahasa Melayu, Inggeris atau Arab.

Wakaf buku dan kitab masih terbuka kepada sesiapa yang berminat. 

Program Kitar Semula - Gotong Royong dan riadah bulanan


Pada hari Sabtu 5 Mei 2012, bermula jam 9:00 pagi, ahli-ahli komuniti Surau Al-Husna yang berkelapangan telah hadir beramai-ramai untuk proses pemunggahan, pengasingan dan penjualan barangan terpakai untuk kitar semula yang disumbangkan kepada surau.
(Lori yang dipenuhi dengan barangan kitar semula yang telah dipunggah)

Aktiviti yang menjadi acara bulanan ini merangkumkan tiga aktiviti serangkai.  Gotong-royong, riadah dan amalan sedekah.. Ia mengeratkan ukhuwwah, mengeluarkan peluh dan meningkatkan amalan sedekah melalui pelbagai kaedah.

Proses pemunggahan dan pengasingan berlangsung hampir 2 jam, secara relatifnya agak pantas kerana faktor jumlah kehadiran yang begitu menggalakkan selain bangunan pengumpulan yang mempunyai tiga ruangan khas mengikut jenis barangan utama (kertas, plastik dan logam).

Pada waktu yang sama, kaum muslimat menghadiri kuliah fardhu-ain yang dibimbing oleh YBhg Ustazah Fatimah Salleh, dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Remaja juga hadir membantu dan kanak-kanak juga turut memeriah suasana.  Sepanjang program berlangsung, pelbagai  makanan dan minuman turut disediakan hasil dari sumbangan masyarakat..
(Hasil Jualan pada hari tersebut yang dibayar tunai kepada Bendahari - Tuan Haji Ainol)

Pada hari tersebut juga sekumpulan pelajar dari Universiti Malaya (UM) telah hadir untuk membuat tinjauan dan mendapatkan maklumat berhubung program kitar semula barangan terpakai dan kitar semula minyak masak untuk memenuhi sebahagian projek pengajian mereka.

Tuesday, May 1, 2012

Sehari Sebuah Hadis – 3


BEKERJASAMA

Daripada Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda:
Maksudnya: “Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam.”

Pengajaran Hadis

Kerjasama wujud dan berkembang dalam suasana kehidupan yang harmoni dan stabil. Kehidupan begini berpunca daripada kemesraan berkomunikasi, kemesraan kecintaan dan kasih saling serta saling bersimpati.  Kejayaan Rasulullah S.A.W. melahirkan masyarakat harmoni dan simpati dapat dijadikan contoh yang paling baik bagi mewujudkan suasana kerjasama dalam masyarakat kini.

Gambaran sebuah masyarakat yang bekerjasama dan saling bantu-membantu yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W. antaranya ialah wujudnya keadaan bersimpati antara anggota masyarakat, bak kata pepatah: “Cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit.”

Kerjasama menjadi amat penting khususnya dalam menjayakan sesuatu misi sama ada kenegaraan atau kemasyarakatan. Dengan kerjasama, sebarang yang sukar dan susah bahkan dianggap hampir mustahil menjadi amat mudah.

AYAT AL-QURAN

Firman ALLAH S.W.T. dalam Surah Al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). 

(Sumber: Himpunan Hadis Modal Insan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Telaga Biru.)