BEKERJASAMA
Daripada Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda:
Maksudnya: “Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi
kasih sayang, saling bersimpati dan saling mencintai samalah seperti anggota
tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh
anggota lain yang tidak tidur malam dan demam.”
Pengajaran Hadis
Kerjasama wujud dan berkembang dalam suasana kehidupan yang
harmoni dan stabil. Kehidupan begini berpunca daripada kemesraan
berkomunikasi, kemesraan kecintaan dan kasih saling serta saling
bersimpati. Kejayaan Rasulullah S.A.W.
melahirkan masyarakat harmoni dan simpati dapat dijadikan contoh yang paling
baik bagi mewujudkan suasana kerjasama dalam masyarakat kini.
Gambaran sebuah masyarakat yang bekerjasama dan saling
bantu-membantu yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W. antaranya ialah wujudnya
keadaan bersimpati antara anggota masyarakat, bak kata pepatah: “Cubit peha
kiri, peha kanan terasa sakit.”
Kerjasama menjadi amat penting khususnya dalam menjayakan
sesuatu misi sama ada kenegaraan atau kemasyarakatan. Dengan kerjasama,
sebarang yang sukar dan susah bahkan dianggap hampir mustahil menjadi amat
mudah.
Firman ALLAH S.W.T. dalam Surah Al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan
untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan
pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah,
kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang
melanggar perintah-Nya).
(Sumber: Himpunan Hadis Modal Insan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Telaga Biru.)
No comments:
Post a Comment