info-Solat

Wednesday, November 25, 2009

Program Qurban Sempena Hari Raya Aidil Adha 1430 Hijrah

· SABTU 28 NOVEMBER 2009 (11 Zulhijjah 1430 Hijrah)


Pihak Jawatankuasa Surau Al-Husna akan menganjurkan Program Qurban sempena Hari Raya Aidil Adha 1430 Hijrah.

Sebagaimana diumumkan pihak berkuasa, Hari Raya Aidil Adha tahun 1430 Hijrah telah ditetapkan pada hari Jumaat, 27 November 2009 (10 Zulhijjah 1430 Hijrah).

Bagaimanapun dengan mengambil kira bilangan haiwan qurban sebanyak 6 ekor dan waktu solat Jumaat, pihak Surau Al-Husna telah menetapkan program Qurban dilaksanakan pada hari Sabtu, 28 November (11 Zulhijjah 1430 Hijrah).

Aturacara Program Qurban:
07.15 Pagi - Mulai berkumpul di perkarangan surau
· Pendaftaran & Agihan Kupon
· Sarapan Pagi
Taklimat & Agihan Kumpulan
· Kerja-kerja penyembelihan/melapah
· Kerja-kerja memasak

01.02 Tengahari - Azan dan Solat Zuhur berjemaah
o Agihan Daging Qurban
o Jamuan Tengahari
o Bersurai


SEDIKIT INFO BERKAITAN IBADAH QURBAN

Hukum Qurban:

· Hukum Qurban ialah sunat muakkad sama ada bagi orang-orang yang sedang mengerjakan haji atau tidak.

Masuk Waktu Qurban:
· Bermulanya waktu qurban apabila naik matahari Hari Nahar (hari 10 Zul Hijjah) dan setelah berlalu masa sembahyang dua rekaat Hari Raya dan dua khutbah yang ringkas (ringkas sembahyang dan dua khutbahnya).

Binatang yang afdal qurban:
· Binatang yang afdal untuk dibuat qurban mengikut keutamaan ialah unta, kemudian lembu, kemudian kibas kemudian kambing.
· Tujuh ekor kibas adalah terlebih afdal daripada seekor unta.

Binatang yang boleh dibahagi 7:
· Unta, kerbau dan lembu boleh dikongsikan untuk tujuh orang walaupun mereka mempunyai niat/tujuan yang berbeza-beza, seperti setengahnya niat untuk qurban, setengahnya untuk ’aqiqah, setengahnya untuk dimakan dan setengahnya hendak menjual.
· Perkongsian ini harus walaupun salah seorang daripada mereka itu kafir dhimmi.
· Perbezaan niat-niat (tujuan) ini tidaklah memberi mudharat pada qurban dan umpamanya.
· Hendaklah dibahagikan daging sembelihan ini kepada tujuh bahagian dengan sama banyak.

Niat qurban:
· Disyaratkan niat ketika menyembelih qurban.
· Jika diwakilkan kepada seseorang untuk menyembelihnya hendaklah diniatkan ketika menyerahkan binatang yang hendak diqurbankan itu, walaupun wakil itu tidak mengetahui sembelihan itu untuk qurban, atau pembuat qurban itu niat ketika wakilnya menyembelih.
· Harus orang yang hendak berqurban itu mewakilkan niatnya kepada muslim mumayyiz yang lain, sama ada dia sebagai wakil pada menyembelih atau lainnya, kecuali qurban yang ditentukannya dengan nazar maka tidaklah disyaratkan niat baginya.

(Sumber: Kitab Matla' Al-Badrain, terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan - JAWI)


Semoga penyertaan kita dalam program yang diadakan akan merapatkan ukhuwwah Islamiyah.

Wassalamualaikum.

Monday, November 9, 2009

“Bengkel Terapi Solat”

Pada hari Ahad 8 November 2009 bersamaan 20 Zulkaedah 1430 Hijrah, Surau Al-Husna telah menganjurkan Bengkel Terapi Solat yang berlangsung mulai jam 9:00 pagi sehingga jam 5:30 petang.

Pembuka bicara dimulakan oleh Ustaz Haji Mohd Takiyuddin Haji Ibrahim, Pengerusi Surau Al-Husna. Program ini dikendalikan oleh Ustaz Setiyo Purwanto, S. Psi, MSi, Psi; dari Solat Centre Solo, Indonesia yang kebetulan berada di Malaysia. Bengkel sehari ini dikendalikan dengan secara interaksi dua hala di antara peserta dan penceramah. Ustaz Setiyo juga mengendalikan ceramahnya di selangselikan dengan persembahan slide dan video melalui komputer dan pemancar visual. Di samping itu, beliau juga menunjukkan secara praktikal pergerakan dalam solat dan kaitannya dengan terapi tubuh badan.

Seramai kira-kira 45 peserta telah menghadiri bengkel ini yang terdiri dari jemaah Surau Al-Husna dan peserta-peserta dari luar yang datang dari sekitar Lembah Klang. Meskipun tiada pekeliling yang diedarkan, sambutan adalah amat menggalakkan mengambil kira saiz ruang surau untuk menampung bilangan peserta di samping pertimbangan faktor keselesaan. Peserta dari luar pula memperolehi maklumat melalui laman blog Saudara Fuad Latip (http://www.fuadlatip.com/v1/). Para peserta yang mendaftar telah dikenakan bayaran yang amat minima.

Semua peserta menerima senaskah Al-Mathurat sebagai cenderahati sewaktu mendaftar serta nota bengkel terapi solat yang mengandungi tajuk Paradigma, Tumakninah dan Silatun. Pihak surau turut menyediakan minum pagi, makan tengahari serta minum petang, meskipun dalam keadaan yang amat sederhana tetapi meriah.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Saudara Mohd Salehan Sharif serta isteri yang menetap di Perth Australia sejak 17 tahun lalu. Beliau turut berkongsi pengalaman menjadi pendakwah dan pembimbing di kalangan masyarakat Islam Melayu dan Muslim di Australia.

Di akhir kursus, peserta berpuas hati memperolehi ilmu yang dikongsi oleh Saudara Setiyo dalam memantapkan dan memperbaiki lagi ibadah solat dan pengabdian kepada Allah SWT. Bagaimana ibadah solat ini sebenarnya adalah untuk mengagungkan Allah SWT, merendahkan diri kepada Allah SWT dan natijahnya memperolehi kesejahteraan hidup secara langsung.

Saturday, September 19, 2009

AKTIVITI-AKTIVITI AMAL JARIAH RAMADHAN 1430 HIJRAH

Alhamdullilah, bersyukur kita ke hadhrat Allah S.W.T kerana dengan taufik hidayah dan inayahNya kita dipertemukan lagi dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini. Dengan kedatangan bulan yang mulia ini Allah S.W.T memberi peluang sekali lagi kepada kita untuk merebut banyak keistimewaan serta dapat meningkatkan lagi amal kebajikan dan taqwa kepadaNya.

Sebagaimana tahun-tahun yang lepas, pihak Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam telah merangka program-program pengisian aktiviti-aktiviti amal jariah untuk sepanjang Ramadhan tahun ini, antaranya:

> Solat Sunat Terawih (sepanjang bulan Ramadhan)
> Program berbuka puasa (ringkas/ringan) setiap hari
> Majlis berbuka puasa rasmi Surau Al-Husna
> Jamuan More selepas Solat Terawih (mengikut permintaan/penajaan atau sumbangan)
> Kuliah Subuh (Mingguan - pada setiap hari Ahad)
> Majlis Tahlil & Doa (mengikut permintaan/pendaftaran)
> Program Tadarus Al-Quran harian (Dewasa & Remaja/kanak-kanak)
> Program Qiamulail/Nuzul Quran
> Majlis Khatam Al-Quran
> Penyampaian sumbangan Ramadhan/Aidil Fitri (kepada golongan layak dikenalpasti)

Wednesday, August 12, 2009

PROGRAM-PROGRAM TERKINI SURAU AL-HUSNA

Assalamualaikum…

Program-program yang diatur bertempat di Surau Al-Husna seperti berikut:

Program 1:
Program bacaan Yaasin & Solat Hajat (memohon perlindungan dari wabak H1N1 dan sempena menjelang peperiksaan anak-anak (UPSR/PSRA dll)
Tarikh: 13 OGOS 2009 (Khamis)
Masa: Maghrib hingga Isya’
Aturcara:
>> Azan & solat Maghrib berjemaah
>> Bacaan Yaasin & tahlil
>> Azan & Solat Isya’ berjemaah
>> Diikuti Solat Hajat berjemaah
>> Jamuan disediakan

Program 2:
Program Qiyamulail & Kuliyah Suboh (Bimbingan oleh YBhg Ustadz Idris Abdullah, UiTM Shah Alam)
Tarikh: 16 OGOS 2009 (awal pagi hari Ahad)
Masa: mulai jam 4.00 pagi
Aturcara:
>> Qiyamulail
>> Azan & Solat Suboh berjemaah
>> Kuliyah Suboh
>> Sarapan pagi (disediakan)

Program 3:
Ceramah Menjelang Ramadhan oleh YBhg Prof. Dr. Abdul Halim Mat Diah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Tarikh: 19 OGOS 2009 (Rabu)
Masa: Maghrib hingga Isya’
Aturcara:
>> Azan & Solat Maghrib berjemaah
>> Kuliyah/ceramah menjelang Ramadhan
>> Azan & Solat Isya’ berjemaah
>> Jamuan (sumbangan makanan – kuih-muih, buahan amat dialu-alukan)

(Nota: Program 3 telah dibatalkan atas kembalinya ke rahmatullah YBhg Prof. Dr. Abdul Halim Mat Diah, pada hari Isnin 17 Ogos 2009. Al-Fatihah. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan para Syuhada dan Solihin)

Pihak Jawatankuasa Surau Al-Husna dengan hormat dan sukacitanya menjemput muslimin dan muslimat mengambil bahagian dalam program-program yang telah dirancang.

Semoga penyertaan kita dalam program-program yang diadakan akan meningkatkan ilmu, amal dan taqwa di samping merapatkan ukhuwwah Islamiyah.

Wassalamualaikum.

Friday, August 7, 2009

Forum Perdana Ehwal Islam

Assalamualaikum,

FORUM PERDANA EHWAL ISLAM akan diadakan sempena program Hari Keluarga Komuniti Al-Husna.

Tajuk: "Ibu Bapa Cemerlang Anak-anak Gemilang"

Tarikh: 8 Ogos 2009 (Sabtu)
Masa: 8.45 malam
Tempat: Dataran Permainan Jalan Landak 20/13 (Berhadapan Surau Al-Husna)

Ahl-ahli panel:
1. Tuan Haji Hushim bin Haji Salleh (Kaunselor)
2. Ustadzah Zawiah binti Hassan (JAKIM)
3. Ustadz Suhaimi bin Ahmad Wakid (JAIS)

Perantara:
Dr. Mohd Affendi bin Mat Rani (UiTM)

SEMUA MUSLIMIN-MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR.

Wassalam

Program Hari Keluarga Komuniti Al-Husna

Assalamualaikum,

Program HARI KELUARGA KOMUNITI AL-HUSNA akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 8 Ogos 2009
Hari: Sabtu
Masa: 7.30 pagi hingga 2.00 petang
Tempat: Dataran Permainan Jalan Landak 20/13 (Berhadapan Surau Al-Husna)

Semua warga serta keluarga adalah di jemput hadir. Sila rujuk kain rentang dan pekeliling yang telah diedarkan.

Antara program yang diatur adalah seperti berikut;
1. Senaman pagi
2. Jualan makanan dan sarapan pagi
3. Sukaneka untuk anak-anak pra-sekolah, anak-anak sekolah rendah (tahap 1 & 2)
4. Sukaneka untuk remaja
5. Sukaneka untuk ibu bapa
6. Sukaneka untuk keluarga
7. Tarik tali berpasukan (mengikut lorong/jalan)
Penyertaan sukaneka adalah PERCUMA dan terbuka kepada semua.

Pameran, pertunjukan dan promosi:
1. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
2. Lembaga Industri Perkayuan Malaysia (MTIB)
3. Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
4. Takaful (Etiqa) dari Mercu Agency
5. Peralatan Penapisan Air

Banyak lagi...
Puppet Show dari Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor
Minuman MILO percuma sumbangan Nestle (stok terhad)
JAMUAN MAKAN TENGAHARI ADALAH DISEDIAKAN

Jualan amal (Tabung Surau): Kemeja-T pada harga yang amat berpatutan

Pastikan temujanji lain dianjak ke waktu yang lain. Bersama hadir untuk menjayakan program Hari Keluarga Komuniti Al-Husna.

Wassalam.

Program Bersama Nik Nur Madihah








Assalamualaikum WR. WB.,

Pada hari Rabu, 1 Julai 2009 adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal telah sudi meluangkan masa untuk hadir dan berkongsi pengalaman dengan warga Surau Al-Husna. Program bermula selepas solat Maghrib dan berakhir jam 10.30 malam.

Kami amat berbesar hati menerima kedatangan beliau meskipun hanya sebuah surau kecil yang masih dengan bangunan sementara, tidak menjadi masalah kepada beliau yang sering mendapat jemputan dari pihak-pihak yang lebih ternama.

Program ini mencipta rekod kehadiran dan penyertaan dari anak-anak ahli kariyah termasuk yang akan menduduki peperiksaan besar pada tahun ini. Terdapat juga kehadiran anak-anak pelajar dari kawasan lain yang mendapat maklumat mengenai kehadiran Nik Nur Madihah.

Ternyata, program ini amat memberi manfaat kepada seluruh warga, baik kepada anak-anak pelajar mahupun ibu bapa yang hadir. Ramai yang mengerumuni Nik Nur Madihah selepas selesai program perkongsian dan semasa menikmati hidangan yang disediakan.

Pihak kami amat berterima kasih kepada beliau yang telah sudi berkongsi pengalaman dan sentiasa mendoakan kejayaan yang berterusan kepada beliau yang akan menyambung pelajaran ke Jordan.

Wassalam.