info-Solat

Wednesday, March 25, 2009

Mesyuarat Agung Kali Ke-3

Assalamualaikum WR. WB.
Semua Muslimin & Muslimat

PEMBERITAHUAN MESYUARAT AGUNG KALI KE-3

Adalah dengan hormatnya dimaklumkan bahawa Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam, Selangor, akan mengadakan Mesyuarat Agung Kali Ke-3 seperti berikut:

Tarikh: 28 Mac 2009 (Bersamaan 1 Rabiul Akhir 1430 Hijrah)
Hari: Sabtu
Masa : Jam 8.00 malam
Tempat: Surau Al-Husna, Seksyen 20, Shah Alam (Jalan Landak 20/13)

Sehubungan dengan itu, sebarang usul yang hendak dibawa dan dibentangkan semasa Mesyuarat Agung Kali Ke-3, hendaklah menggunakan Borang Usul yang disediakan dengan menyatakan butiran yang perlu dan dikembalikan kepada Jawatankuasa Surau Al-Husna.

Tuan/puan muslimin dan muslimat adalah dengan hormatnya dijemput menghadiri Mesyuarat Agung Kali Ke-3 sebagaimana dinyatakan.

Sekian. Wassalamualaikum.

Yang menjalankan amanah,

AHMAD KAMAL SAIAN
Setiausaha

BERTARIKH: 14 MAC 2009
BERSAMAAN 17 RABIUL AWWAL 1430 HIJRAH

Monday, March 16, 2009

Bangunan Surau Baru




Assalamualaikum...


Alhamdulillah, syukur kerana kerja-kerja penyediaan pelan oleh pihak arkitek yang dilantik telah selesai pada dasarnya dan penyerahan dokumen berkaitan serta pelan berkenaan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telahpun dilakukan.

Pihak MBSA telahpun memanggil perjumpaan pihak arkitek untuk menyampaikan komen pihak MBSA. Terdapat sedikit pembetulan yang perlu dilakukan oleh pihak artitek dan perlu di serah semula kepada pihak MBSA menjelang 18 Mac 2009.

Insya Allah, dengan izinNya juga, semua syarat dalam proses permohonan ini akan dapat dipenuhi bagi membolehkan fasa seterusnya dalam projek pembangunan Surau Al-Husna yang baru dapat dilaksanakan.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT memudahkan segala urusan.




Thursday, February 5, 2009

PROGRAM KITAR SEMULA SISA MINYAK MASAK

Bersama DUN Batu Tiga Shah Alam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP); Surau AL-Husna Seksyen 20, Shah Alam mengadakan Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak seperti berikut;

Tarikh: 7 Februari 2009
Hari: Sabtu
Masa: Mulai 4.30 petang
Tempat: Tapak Pasar Malam Seksyen 19, Shah Alam.

(Sila rujuk baner dan pekeliling yang diedarkan untuk maklumat lanjut)

K I T A R S E M U L A boleh ditakrifkan sebagai proses memperolehi atau menjadikan sebahagian atau semua bahan samada dari sisa pepejal (sampah) atau sisa minyak masak untuk digunakan semula dalam bentuk lain. Sampah domestik selalunya mengandungi bahan kertas, plastik, tin, kaca dan sisa organik dari dapur rumah, gerai makan, restoran atau pasar malam. Sisa organik termasuklah batang sayur, perut ikan dan kulit ayam selain sisa minyak masak yang kurang diberi perhatian. Sisa minyak tersebut selalunya dikumpulkan ke dalam botol dan dilupuskan bersama sampah sarap dan sisa makanan. Cara senang tetapi SALAH ialah dengan melupuskan minyak tersebut terus ke dalam sinki dan longkang atau saluran pembentung.

Setiap hari semua dari kita baik golongan dewasa, pelajar atau anggota masyarakat telah menjadikan rumah kediaman sebagai kilang yang menghasilkan produk berupa sampah sarap dan sisa minyak tetapi kurang cerdik untuk menguruskannya. Dalam erti kata lain konsep 3R (Recycle, Reduce dan Reuse) yang begitu mudah dan murah, yang sepatutnya diamalkan telah tidak digunapakai dan akhirnya masyarakat sendiri terpaksa membayar dengan harga yang lebih mahal apabila kos penyelengaraan sampah semakin bertambah tinggi.

Lebih menyedihkan, alam sekitar menjadi mangsanya apabila lebih banyak hutan ditebang untuk menghasilkan kertas, tanah dibuka untuk tapak pelupusan, sungai-sungai dipenuhi sampah dan sisa minyak sehingga menjejaskan sumber air minuman dan sumber protein seperti ikan dan hidupan akuatik yang lain (kesan kaseinogenik). Pencemaran sumber air, banjir kilat dan pemanasan global telah menjadi isu mutakhir akibat perbuatan tangan manusia sendiri.

Pada 2006, jumlah sampah penduduk bandar di Malaysia lebih kurang 8 juta tan (20,000 tan/hari). Purata sampah dihasilkan ialah 1.3 kg per kapita berbanding 0.8 kg per kapita pada tahun 1998 (semakin meningkat). Ini ialah kerana amalan dan kesedaran untuk mengitar semula di kalangan masyarakat kita masih rendah iaitu hanya sekitar 5%.

Hakikatnya, sampah dan sisa buangan tersebut boleh dikitar semula dan bernilai dari segi ekonomi dan alam sekitar. Masyarakat setempat tidak sepatutnya melupus semua bahan tersebut ke dalam tong sampah/dihantar ke tapak pelupusan sampah sebaliknya MESTI di kumpulkan di dalam rumah, diasingkan jenisnya dan dihantar ke Pusat Kitar Semula, Pusat Komuniti, Surau atau ke Sekolah yang ada program kitar semula.

Atas dasar inilah, maka pihak Komuniti Surau Al-Husna dengan kerjasama ADUN Batu Tiga, MPP Zon 7 dan agensi Kerajaan seperti MBSA dan LUAS mengorak langkah melaksanakan Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak bagi menyokong hasrat kerajaan dalam kempennya untuk meningkatkan amalan kitar semula di kalangan masyarakat terutama DUN Batu Tiga sekaligus memelihara sumber air dan alam semulajadi.

Pusat Kitar Semula Berhampiran :

Ø Surau Al-Husna, Jalan Landak 20/13, Seksyen 20
Ø Pusat Kitar Semula Al-Husna, Dewan Alamanda
Ø Sekolah Kebangsaan Seksyen 20
Ø Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19

OBJEKTIF:

· Memberi kesedaran awam tentang kepentingan amalan kitar semula sisa minyak masak selain sisa pepejal ke arah mewujudkan komuniti pengitar semula.

· Mengurangkan masalah longkang tersumbat, berbau busuk, gangguan kepada sistem pembentung dan pencemaran kepada sistem saliran dan sumber air (sungai dan laut)

· Mencegah penyakit berjangkit seperti demam denggi, chikungunya dan penyakit bawaan tikus, lipas dan lalat.

· Mengukuhkan institusi masyarakat dan menjana pendapatan untuk Tabung Surau/Persatuan/PIBG hasil dari penjualan bahan kitar semula.


PROGRAM KITAR SEMULA SISA MINYAK MASAK

APAKAH HASIL DARI SISA MINYAK ?

1) BAHAN BIODIESEL – merupakan bahan api alternatif kepada minyak petroleum yang semakin terhad. Alam sekitar juga terpelihara kerana biodiesel lebih mesra alam.

2) BAHAN PENCUCI – merupakan produk yang dihasilkan untuk kegunaan cucian kasar seperti pencuci lantai dan tandas.

3) BAHAN MAKANAN TERNAKAN – merupakan campuran yang terdapat dalam pembuatan makanan haiwan ternakan.

4) BAHAN LILIN – merupakan produk yang dihasilkan dari sisa minyak masak.

KEBAIKAN AMALAN KITAR SEMULA

i) Taman perumahan, restoran, sistem saliran dan Bandaraya akan bersih serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat melahirkan bangsa yang sihat dan ceria.

ii) Ekosistem alam semulajadi seperti hutan, sungai (Sungai Klang), wetlands, paya bakau dan laut akan terpelihara dari sebarang pencemaran dan menyumbang kepada sumber air bersih, makanan segar dan meningkatkan sektor pelancongan.

iii) Penggunaan sumber secara optima dan mengurangkan import bahan mentah, kos bahanapi, tapak pelupusan sampah dan akhirnya mengurangkan pemanasan global (Climate Change).

(Tulisan sumbangan Saudara Mazlan Idrus, AJK Surau Al-Husna)

Tuesday, December 16, 2008

Isnin, 10 Zulhijjah 1429 Hijrah

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Labbaik Allahumma Labbaik. Labbaik, La Shareek Laka, Labbaik. Innal Hamdah, Wan Nematah, Laka wal Mulk, La Shareek Laka!

8 Disember 2008 bersamaan 10 Zulhijjah 1429 Hijrah, kita di Malaysia menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, jemaah Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam turut mengadakan program ibadah qurban dan aqiqah sesudah selesai menunaikan solat Aidil Adha di masjid-masjid berhampiran.

Pada malam sebelumnya, jemaah berkumpul dan bergerak dari rumah ke rumah yang membuat permintaan untuk bertakbir dan berdoa. Ia adalah sebahagian dari aktiviti yang mampu merapatkan ukhuwwah di kalangan jemaah dan penduduk setempat. Oleh kerana ramai yang pulang ke kampung, pada kali ini takbir dari rumah ke rumah berakhir lebih awal.
Hujan renyai bermula awal pagi sebelum subuh berlarutan sehingga tengahari, tidak mematahkan semangat para jemaah untuk berhimpun mulai jam 9.30 pagi untuk melaksanakan program qurban dan aqiqah.

Pihak Surau Al-Husna menerima 38 penyertaan, di mana 5 ekor lembu dan 3 ekor kambing menjadikan jumlah keseluruhan 8 ekor haiwan untuk qurban untuk tahun ini. Satu ekor lembu untuk 7 bahagian, manakala seekor kambing untuk satu bahagian. Berdasarkan kepada bilangan, menunjukkan pertambahan sebanyak 4 ekor haiwan sembelihan berbanding tahun sebelumnya yang hanya berjumlah 4 ekor.

Kami menggunakan pengalaman lepas yang diperbaiki proses dan pengurusan dalm program qurban dan aqiqah pada tahun ini. Seperti biasa, beberapa mesyuarat dan perjumpaan diadakan sebelum hari pelaksanaan bagi mempastikan ia berjalan lancar. Sebuah urusetia telah dibentuk bagi menyelaraskan program ini sebagaimana tahun-tahun yang lepas. Antara peranan urusetia termasuklah pendaftaran penyertaan, pembelian lembu, penyediaan tapak, lubang sisa dan perkakasan, penyembelihan, menumbangkan lembu dan persediaan untuk penyembelihan.

Bagi setiap ekor lembu, satu pasukan petugas dengan seorang ketua telah dilantik bagi mempastikan aliran proses di laksanakan mengikut garis panduan yang telah disediakan, antaranya termasuklah melapah, memotong, menimbang dan membungkus. Pengagihan setiap ekor lembu pula ditentukan untuk peserta, fakir miskin/anak yatim, petugas-petugas dan seterusnya penduduk setempat.

Manakala di bahagian masakan, dua orang ketua telah dilantik mengetuai masakan menu utama yang bersaskan lembu dan kambing, dengan dibantu oleh kaum muslimat.

Secara keseluruhan, dengan semangat kerjasama dan gotong-royong yang sangat baik, semua kerja telah dapat disempurnakan dengan jaya dan berakhir pada kira-kira jam 2.00 petang.
Program di akhiri dengan pengagihan bahagian qurban kepada penerima yang dinyatakan dan seterusnya jamuan makan tengahari selepas solat Zohor.

Tanpa diduga dan tanpa persediaan sambutan, majlis turut dihadiri YB Puan Rodziah Ismail, ADUN Batu Tiga Merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Kepada semua dermawan yang telah menyumbangkan tenaga, wang ringgit dan peralatan, pihak Jawatankuasa Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam merakamkan ucapan terima kasih dan semoga sumbangan yang diberikan memperoleh keberkatan dan rahmat Allah S.W.T.

Wednesday, July 2, 2008

Program Kitar Semula Menjana Sumber Kewangan

Dimulakan pada bulan Julai 2005, dengan penyerahan tong-tong kitar semula dan papantanda oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai simbolik kepada permulaan aktiviti yang sehingga kini telah berlangsung selama empat tahun.

....(akan disambung...)

Wednesday, May 14, 2008

Suatu Permulaan

Assalamualaikum,

Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam....

Segalanya bermula menjelang Ramadhan tahun 1423 Hijrah (2003 Masehi)... Dimulakan dengan penubuhan Jawatankuasa Penaja Surau Seksyen 20B. Surau ini dibina hasil sumbangan masyarakat setempat, atas keinginan yang kuat untuk mewujudkan satu tempat berkumpul, menimba ilmu, beramal ibadah dan bermasyarakat.

Selepas Jawatankuasa Penaja berjaya mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa berkaitan, satu mesyuarat agung telah diadakan bagi mewujudkan jawatankuasa yang tetap dan perubahan nama surau kepada Surau Al-Husna, Seksyen 20, Shah Alam.

Asalnya (dan masih lagi) hanya sebuah kabin binaan yang berukuran 20 kaki lebar dan 30 kaki panjang. Kini telah ditambah kiri, kanan dan belakang untuk menampung pertambahan jemaah dan aktiviti.

Pada mulanya tiada kemudahan bilik air, hasil sumbangan para dermawan, kini terbina sebuah bilik air dan tempat mengambil wudhu yang selesa untuk lelaki dan wanita. Dibina sebagai bangunan kekal dengan batu-bata dan simen konkrit dengan kos hampir RM40,000, untuk kegunaan jangkapanjang.

Kami menampung kos aktiviti mengimarahkan surau dengan menjalankan kegiatan kitar semula mulai Julai 2005. Selain menjana sumber pendapatan melalui penjualan barangan kitar semula yang didermakan oleh masyarakat setempat, ia juga mampu mendidik masyarakat mengenai kepentingan kitar semula kepada manusia dan tempat tinggalnya, yakni bumi ini. Disamping menyuburkan amalan sedekah meskipun hanya melalui bahan terbuang.

Selain aktiviti harian dalam mengimarahkan surau, kami mempunyai kalendar aktiviti mingguan dan bulanan di samping aktiviti yang dilaksanakan berdasarkan hari-hari kebesaran dalam kalendar Islam. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah, kuliyyah fardhu ain, kuliyyah tafsir hadis, kelas tajwid Al-Quran, ceramah umum merangkumi pendidikan anak-anak, peranan ibu-bapa dan masyarakat, sukan dan kesihatan, motivasi, hal-ehwal semasa dan sebagainya.

Bermula tahun 2006, surau ini telah digunakan sebagai tempat Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang dikendalikan oleh pihak swasta, menampung kira-kira 100 orang murid.

Perancangan dan usaha sedang dilakukan untuk membina sebuah bangunan surau kekal di tapak yang sama. Bagi tujuan ini, kelulusan tapak tanah dan perkara berkaitan dengan pentadbiran surau telahpun diluluskan oleh pihak berkuasa seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Perkara yang masih dalam proses ialah penyediaan pelan bangunan yang menepati piawaian. Dengan izin Allah, kami harap semua proses ini mampu diselesaikan menjelang hujung tahun 2008.

Dari masa ke semasa, pihak jawatankuasa Surau Al-Husna mengedarkan pekeliling berkaitan aktiviti semasa yang dilaksanakan. Dalam perkeliling tersebut turut dinyatakan alamat surat menyurat dan nombor telefon Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha.

Kalangan dermawan yang ingin memberi sumbangan untuk membiayai aktiviti semasa dan/atau membiayai pembinaan bangunan surau kekal boleh didebitkan terus atas nama Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam di Public Bank akaun semasa bernombor 3994 192 802.

Segala sumbangan amat dihargai dan semoga memperoleh keberkatan dari Allah SWT.

Wassalamulaikum.