info-Solat

Friday, April 13, 2012

Sehari Sebuah Hadis - 2

RUKUN ISLAM DAN TUNGGAK-TUNGGAK ASASNYA

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Umar bin Al-Khatab R.A. beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Islam dibina di atas lima perkara; Penyaksian bahawa tiada tuhan (ilah) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, Mendirikan sembahyang, Menunaikan zakat, Mengerjakan haji ke Baitullah dan Puasa bulan Ramadhan.”

[Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim]

(Sumber: Sarah Hadis 40 Imam Nawawi, oleh Dr. Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Misto. Pustaka Salam)

Khas untuk Junior

Membina kekuatan kerohanian dan potensi diri anak-anak..

Program untuk ahli-ahli jemaah Junior Surau Al-Husna secara mingguan telah dimulakan pada 5 April 2012. Penyertaan adalah terdiri daripada anak-anak jemaah sekitar surau.

Pengisian dibimbing oleh Ahli-ahli Kelab Hadhari UiTM Shah Alam, sebagai fasilitator. Antara pengisian ialah motivasi dan bimbingan pembelajaran. Para peserta dibahagikan kepada dua kelompok iaitu lelaki dan perempuan dan dibimbing oleh para fasilitator.

Berlangsung selama 1 jam setengah, program ini akan dilangsungkan sebagai acara mingguan pada setiap Jumaat, bermula jam 9:00 malam. Penyertaan adalah terbuka kepada semua anak-anak jemaah sekitar surau dari peringkat sekolah rendah dan menengah.

Wednesday, April 11, 2012

Sehari Sebuah Hadis - 1

SEMUA AMALAN ADALAH DENGAN NIAT

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab R.A. katanya: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya, atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.”

(Sumber: Sarah Hadis 40 Imam Nawawi, oleh Dr. Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Misto. Pustaka Salam)

Thursday, March 29, 2012

Kisah Kemboja

Ustaz Jamal Abdul Nasir Amad yang berasal dari Kampung Cham, Kemboja telah menyampaikan kuliah umum dan ceramah berkaitan masyarakat Islam Kemboja dalam slot Kuliah Maghrib pada hari Rabu 28 Mac 2012.

Berumur 30 tahun, beliau sedang melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM) dan pada masa yang sama berkhidmat dengan WAMY (World Assembly of Muslim Youth) Malaysia, yang berpejabat di Kuala Lumpur.

Antara pengisian ceramah ialah penerangan mengenai cabaran kehidupan umat Islam Kemboja dari segi sosial, ekonomi dan politik. Kekangan dari pelbagai sudut dalam pelbagai bentuk serta diskriminasi dari pihak pemerintah.

Bantuan yang amat diperlukan menurut beliau ialah guru-guru yang boleh memberi pendidikan dan menyampaikan ajaran Islam kepada umat di sana. Meskipun terdapat umat Islam Kemboja yang telah melanjutkan pelajaran dalam bidang agama Islam di luar negara, mereka akan kembali ke kampong halaman dan bekerja sebagai peniaga sebagaimana penduduk lain. Ini adalah kerana, pihak pemerintah tidak mengiktiraf guru-guru yang mengajar agama Islam. Jika ada yang mengajar, mereka ini tidak memperolehi pendapatan untuk menyara keluarga.

Sejajar dengan hasrat menjalin hubungan sejagat, pihak Surau Al-Husna telah memberi peluang kepada beliau menyampaikan maklumat dan sedikit tazkirah kepada jemaah. Di samping itu, program seumpama ini juga membuka ruang dan peluang untuk mengumpulkan dana dan merencana program untuk disampaikan kepada umat Islam di Kemboja pada masa akan datang.

(Bergambar kenangan dengan beberapa orang Jemaah selepas program - Ust Jamal Abdul Nasir, berdiri di tengah, barisan hadapan)

Tuesday, March 27, 2012

Program Kitar Semula – Alam, Dana dan Riadah.

Program Kitar Semula Surau Al-Husna yang dimulakan pada bulan Julai 2005 masih diteruskan sehingga kini. Aktiviti pemunggahan, pengasingan, menimbang dan menjual barangan yang boleh dikitar semula hasil sumbangan penduduk setempat dilaksanakan pada hari Sabtu minggu terakhir setiap bulan.
Sesudah siap bangunan baru Surau Al-Husna, program ini berjalan dengan lebih teratur dengan siapnya bangunan khas untuk mengumpulkan barangan kitar semula mengikut jenis.
Hasil jualan bulan Januari mencapai hampir RM1,100, bulan Februari RM970 dan terkini pada bulan Mac hasil yang diperolehi adalah RM600 (termasuk hasil jualan minyak masak terpakai). Hasil jualan dipengaruhi oleh jumlah barangan, jenis barangan dan harga barangan semasa.
Pada asalnya program dijalankan bagi tujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan kitar semula untuk kebaikan alam sekitar dan kehidupan. Kemudian diikuti sebagai usaha mengumpul dana untuk membiayai operasi surau melalui sumbangan dan hasil jualan bahan-bahan terbuang yang boleh dikitar semula.
Kini program ini telah menjadi aktiviti tetap yang merangkumkan penjagaan alam sekitar, pengumpulan dana dan aktiviti riadah.
Setiap kali program pemunggahan dan penjualan, ia disertai oleh bukan sahaja kaum lelaki, malah kaum wanita turut membantu dengan menyediakan makanan dan minuman ringan. Manakala remaja dan kanak-kanak juga turut serta membantu umpama aktiviti keluarga.
Kebiasaannya, program berlangsung selama kira-kira 2 jam dengan kerja-kerja terakhir adalah pembersihan kawasan. Program terbaru telah dilaksanakan pada hari Sabtu 24 Mac 2012.

Monday, March 26, 2012

Misi Antarabangsa ...

Seramai 8 orang ahli jemaah Surau Al-Husna telah menyertai "Misi Antarabangsa" ke Darul Ma’arif School, Khuandon, Satun, Thailand, pada 23 hingga 25 Mac 2012.
Diketuai oleh Ustaz Haji Mohd Takiyuddin Ibrahim, rombongan yang menaiki dua buah MPV disertai oleh Haji Haron Dalib, Zainuddin Tasiman, Nubhan Mohd Takiyuddin, Mohd Tajul Ariffin, Khairil Azhar Ismail, Abd Rahim Taib (Pak Ngah) dan Abang Mohd.

Misi ini adalah sebahagian daripada program Surau Al-Husna untuk menjalin hubungan sejagat dengan pelbagai pihak di pelbagai tempat. Di samping untuk menyampaikan bantuan barangan keperluan seperti buku-buku dan pakaian, peralatan dan juga sumbangan/penyertaan wakaf tunai dari kalangan jemaah Surau Al-Husna untuk pembinaan bangunan baru sekolah tersebut.
Sebelum berlepas, doa selamat mengiringi perjalanan pasukan ini.

Monday, March 19, 2012

Majlis Perpisahan untuk Pak Rahim...

Satu majlis kecil meraikan Saudara Fathurochim (Pak Rahim) telah diadakan pada hari Ahad, 18 Mac 2012, selepas solat Isyak.

Beliau merupakan salah seorang yang terlibat dalam pembinaan bangunan baru Surau Al-Husna sejak bulan Disember 2010. Beberapa orang lain dalam pasukan beliau yang telah berpindah ialah Saudara Zainuri Zainal (Nuri), Halil Osman dan Agus. Dua rakannya yang lain, Roni dan Jamal telah kembali ke kampung halaman lebih awal semasa struktur bangunan masih dalam pembinaan.

Pasukan ini telah berada di tapak surau ini dalam rumah kongsi dan kemudiannya menghuni sementara di salah satu bilik di Surau Al-Husna.

Setelah selesai pembinaan Fasa 1, Pasukan Nuri telah membaikpulih dan menaiktaraf bangunan tandas, bilik air dan tempat mengambil wudhu.
Manakala Rahim telah terlibat secara langsung dalam beberapa pembinaan kecil, antaranya bangunan pengumpulan bahan-bahan kitar semula dan bangunan stor penyimpanan barangan.

Kerja-kerja terkini yang telah beliau siapkan ialah penambahan bumbung bangunan tandas wanita dan menurap konkrit di laluan kedua sebelah kanan surau.

Selain daripada itu, beliau secara tidak langsung menjadi penjaga surau termasuk keselamatan dan kebersihan sepanjang berada di surau.

Memiliki kelulusan Diploma dalam bidang perikanan (marine), beliau menjadi orang terakhir dari pasukan pembinaan yang akan meninggalkan tempat ini…

Semasa majlis, saudara Rahim telah diberi kesempatan untuk menyampaikan ucapan dan luahan hati. Beliau mengucapkan terima kasih atas penerimaan masyarakat dan kepercayaan yang diberikan dalam melaksanakan beberapa pembinaan tambahan dan menyatakan penghargaan atas segala kebaikan yang diberikan.
Majlis perpisahan diiringi penyampaian cenderahati kenangan dan jamuan ringan yang disumbangkan oleh beberapa orang jemaah.
Pihak Surau dan seluruh jemaah mengucapkan terima kasih kepada beliau atas tenaga dan kudrat yang disumbangkan dalam pembinaan Surau Al-Husna, meskipun atas nama mencari rezeki… Beliau akan menaiki pesawat pada pagi Selasa, 20 Mac 2012 untuk kembali ke kampung halaman menemui anak dan isteri di Lampung.