info-Solat

Wednesday, March 7, 2012

Program "Master Chef" bersama Chef Ustazah Wan Habsah

Sabtu 3 Mac 2012, selepas selesai Program Dwi-Mingguan Kuliyah Fardhu Ain berkitab yang di bimbing oleh YBhg Ustazah Fatimah Saleh, para peserta terus berkumpul di Kafetaria Al-Husna untuk mengikuti Program "Master Chef" Surau Al-Husna.

Program "Master Chef" Surau Al-Husna dikendalikan oleh YBhg Chef Ustazah Wan Habsah Wan Ahmad. Rujuk http://yeshalalmarketing.blogspot.com/ dan facebook beliau http://www.facebook.com/people/Ustazah-Wan-Habsah/100001682556953.

Seramai 25 peserta mengambil bahagian mulai jam 10:30 pagi. Walaupun dikenakan yuran penyertaan, program yang pertama kali diadakan ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Daripada bilangan ini, 22 orang adalah peserta dari kalangan jemaah Surau Al-Husna, dan selebihnya dari Subang Jaya dan Pelabuhan Klang. Peserta luar memperolehi maklumat dari blog ustazah.

Dua MODUL set masakan diajarkan kepada para peserta.

MODUL 1 : NASI ARAB MAQLUBAH
1. Penyediaan Nasi Arab Jordan (MAQLUBAH)
2. Sayur Goreng Nasi Maqlubah
3. Penyediaan Dajaj ’Adi (Ayam Original)Untuk Nasi Maqlubah
4. Penyediaan Ayam Goreng Nasi Maqlubah
5. Salatoh @ Jelatah Arab (Acar)
6. Salatoh Ma’a Laban
7. Demo Mashwi (Ayam Bakar Berempah Arab)
8. Demo Masakan Kerutuk Kambing : (RESEPI BONUS)
9. Teknik Mengasap Nasi Arab

MODUL 2 : Nasi Arab Mandhy
1. Nasi Mandy
2. Mandhy Chicken
3. Chicken Mandhy Roasted
4. Kambing Bakar Tandoori
5. Ayam Bakar Tandori
6. Penyediaan Humus
7. Falafil
8. Demo membuat Sandwich Falafil
9. Baked Beans Sause
10.Kuratul Laham Bil Solsoh Tomatim (RESEPI BONUS)

Secara keseluruhan para peserta amat berpuashati dengan hasil yang di pelajari. Program berakhir jam 3:30 petang dengan semua peserta menikmati hasil masakan bersama-sama.

Setiap peserta memperolehi, buku resepi, rempah-rempah, hasil masakan yang dibawa pulang dan sijil penyertaan.

Ilmu yang diperolehi boleh dimanfaatkan untuk diri sendiri, keluarga atau tujuan komersial.

Lihat facebook Surau Al-Husna: http://www.facebook.com/#!/pages/Surau-Al-Husna-Seksyen-20/115523715170045.

Tuesday, April 27, 2010

Program Khas Kuliyyah Dhuha

Pada hari Ahad 25 April 2010 bersamaan 10 Jamadil Awal 1431, Surau Al-Husna telah mengadakan Program Khas Kuliyyah Dhuha. Kuliyyah disampaikan oleh Syeikh Talal An Nasr dari Gaza, Palestine. Beliau juga dikenali sebagai Abu Mukmin, merupakan salah seorang anggota Barisan Kepimpinan Dakwah Rabitah Ulamak Palestine.

Program adalah anjuran bersama HALUAN Selangor; Persatuan Lepasan Siswazah Muslim.

Program bermula jam 10:30 pagi dan berlangsung selama kira-kira 2 jam. Kehadiran muslimin dan muslimat adalah menggalakkan.

Syeikh Talal An Nasr telah menyampaikan penerangan mengenai situasi semasa di Gaza melalui seorang penterjemah.

Dalam majlis yang sama, kutipan derma turut dilancarkan untuk disumbangkan kepada rakyat Palestine melalui pertubuhan yang diwakili oleh Syeikh Talal An Nasr.
(gambar sumbangan Saiful Kareeem - Terima kasih!)

Kebenaran menggunapakai prosedur kutipan Saham Wakaf Selangor akaun Surau Al-Husna

Pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memberi kebenaran kepada Surau Al-Husna untuk menggunapakai prosedur kutipan Saham Wakaf Selangor untuk tempoh 6 bulan dari tarikh 9 Disember 2009 (22 Zulhijjah 1430). Rujukan kebenaran ialah Bil (02) dlm. MAIS/KP/BBM/03/019/16.

1. TUJUAN

Memberi peluang kepada Muslimin dan Muslimat untuk membuat amal jariah iaitu bersama-sama mengumpul dana pembinaan surau tetap bagi menggantikan surau sementara yang telah uzur. Surau baru yang bakal dibina akan mempunyai ruang solat yang lebih luas dan selesa untuk menampung jemaah serta dilengkapi beberapa kemudahan seperti tempat wudhu' lelaki dan perempuan, bilik air, di samping ruang pengurusan jenazah untuk kegunaan penduduk setempat.


2. LATAR BELAKANG

Surau Al-Husna telah dibina dan digunakan sejak tahun 2003. Pembinaannya hanyalah berbentuk sebuah kabin hasil sumbangan derma ahli qariah dan penduduk setempat. Selepas beberapa tahun, ia telah melalui pelbagai fasa pembesaran. Surau ini boleh menampung seramai 50 hingga 70 orang jemaah pada suatu masa.
Pembinaan bangunan surau baru nanti diharapkan boleh memuatkan sehingga 270 orang jemaah selain mempunyai pelbagai kelengkapan yang diperlukan. Sehingga kini Surau Al-Husna menjadi tempat tetap ahli qariah melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan selain sebagai tempat menunaikan Solat berjemaah.
Di samping itu, surau Al-Husna juga mengadakan program harian, mingguan dan bulanan seperti Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh, Ceramah Agama dan Umum Bulanan, Kelas Fardhu Ain untuk Muslimat, Kelas Pengajian Al-Quran dan Program Kitar Semula setiap bulan. Program-program lain adalah diatur berdasarkan Hari kebesaran dan peristiwa penting mengikut kalendar Islam.

Mulai tahun 2006, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah meluluskan bangunan surau ini sebagai Kelas Al-Quran & Fardhu Ain (KAFA). Sehingga kini, terdapat kira-kira 100 orang murid dengan dua sesi persekolahan pagi dan petang mengikut tahap.
Program Kitar Semula telah dimulakan semenjak tahun 2005 dan sentiasa mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari ahli qariah. Program ini merupakan salah satu usaha mengumpul dana bagi tujuan pembiayaan aktiviti dan operasi. Di samping mendidik ahli qariah menjaga kebersihan persekitaran, mereka digalakkan menderma barang-barang terpakai dan boleh dikitar semula.

Melalui pelbagai program dan akltiviti yang diadakan, ahli qariah dapat mengeratkan ukhuwwah di kalangan mereka serta dapat menunaikan tanggungjawab Fardhu ‘Ain dan Fardhu Kifayah.

3. LOKASI SURAU

Surau Al-Husna terletak di kawasan lapang bersebelahan taman permainan di Jalan Landak 20/13, Seksyen 20, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.



4. PELAN SURAU

i. Kelulusan Pelan

Kelulusan pelan telah diberikan oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan kebenaran pembinaan juga telah diperolehi daripada pihak berkuasa.

ii. Anggaran Kos Pembinaan – Anggaran RM700,000
iii. Kemudahan yang bakal disediakan:
>> Dewan Sembahyang (270 jemaah)
>> Tempat wudhuk Lelaki dan Wanita
>> Bilik Air Lelaki dan Wanita
>> Ruang Pengurusan Jenazah
>> Pejabat dan Bilik Mesyuarat


5. PENYERTAAN WAKAF

Semua Muslimin dan Muslimat dijemput untuk menyertai skim wakaf yang diwujudkan bagi pembinaan surau ini. Penyertaan wakaf boleh dibuat melalui Borang B1, Saham Wakaf Selangor (SWS) sebagaimana telah diberikan kelulusan melalui surat Bil (08) dlm MAIS/PE/BML/01/007/09 Jld.3 bertarikh 27hb. Oktober 2009.

Keluasan ruang pembinaan yang ditawarkan ialah 4,235 kaki persegi. Nilai minima Saham Wakaf ialah RM10.00 bagi setiap 1 unit dan tiada had maksima. Pihak Surau Al-Husna menetapkan 15 Unit SWS bersamaan 1 kaki persegi bernilai RM150.00. Bagaimanapun peserta bebas untuk memilih bilangan unit atau jumlah wang yang ingin diwakafkan.

Penyertaan wakaf tunai boleh dibuat melalui Borang B1, SWS dan resit rasmi Maijlis Agama Islam Selangor oleh pihak surau untuk akaun Surau Al-Husna, bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Setiap Saham Wakaf akan dikeluarkan resit dan Sijil Saham Wakaf akan dikeluarkkan oleh Majlis Agama Islam Selangor bagi penyertaan yang melebihi RM50.00 atau 5 unit.

Penyertaan SWS mendapat pengecualian Cukai Pendapatan melalui rujukan: LHDN.01 /35/42/51 /179-6.5821. Warta Kerajaan bertarikh 27hb. Julai 2004.


6. KAEDAH SUMBANGAN LAIN

Selain itu bagi tujuan sumbangan kepada Tabung Pembangunan Surau boleh juga disalurkan melalui Akaun Bank Surau Al Husna iaitu:
AKAUN BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD NO. AKAUN : 12038-01-009453-6

Sumbangan juga boleh dibuat dalam bentuk cek yang dibayar atas nama “SURAU AL-HUSNA”.


7. PENGHARGAAN

Di atas penyertaan Muslimin dan Muslimat melalui saham wakaf ini, pihak Surau Al-Husna mengucapkan ribuan terima kasih dan semoga setiap penyertaan tersebut diterima serta mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wataala sebagai amal jariah yang berpanjangan. Insya Allah.


8. NAMA-NAMA UNTUK DIHUBUNGI

1. Ust Hj. Mohd Takiyuddin Ibrahim (Pengerusi) - 019-286 0205
2. Drahman Sait (Timbalan Pengerusi) - 012-323 3879
3. Ahmad Kamal Saian (Setiausaha) - 016-201 1424
4. Hj Saipullah Husin (Pen. Setiausaha) - 019-275 7057
5. Ainul Adnan Abd. Rahman (Bendahari) - 019-335 5623

Wednesday, November 25, 2009

Program Qurban Sempena Hari Raya Aidil Adha 1430 Hijrah

· SABTU 28 NOVEMBER 2009 (11 Zulhijjah 1430 Hijrah)


Pihak Jawatankuasa Surau Al-Husna akan menganjurkan Program Qurban sempena Hari Raya Aidil Adha 1430 Hijrah.

Sebagaimana diumumkan pihak berkuasa, Hari Raya Aidil Adha tahun 1430 Hijrah telah ditetapkan pada hari Jumaat, 27 November 2009 (10 Zulhijjah 1430 Hijrah).

Bagaimanapun dengan mengambil kira bilangan haiwan qurban sebanyak 6 ekor dan waktu solat Jumaat, pihak Surau Al-Husna telah menetapkan program Qurban dilaksanakan pada hari Sabtu, 28 November (11 Zulhijjah 1430 Hijrah).

Aturacara Program Qurban:
07.15 Pagi - Mulai berkumpul di perkarangan surau
· Pendaftaran & Agihan Kupon
· Sarapan Pagi
Taklimat & Agihan Kumpulan
· Kerja-kerja penyembelihan/melapah
· Kerja-kerja memasak

01.02 Tengahari - Azan dan Solat Zuhur berjemaah
o Agihan Daging Qurban
o Jamuan Tengahari
o Bersurai


SEDIKIT INFO BERKAITAN IBADAH QURBAN

Hukum Qurban:

· Hukum Qurban ialah sunat muakkad sama ada bagi orang-orang yang sedang mengerjakan haji atau tidak.

Masuk Waktu Qurban:
· Bermulanya waktu qurban apabila naik matahari Hari Nahar (hari 10 Zul Hijjah) dan setelah berlalu masa sembahyang dua rekaat Hari Raya dan dua khutbah yang ringkas (ringkas sembahyang dan dua khutbahnya).

Binatang yang afdal qurban:
· Binatang yang afdal untuk dibuat qurban mengikut keutamaan ialah unta, kemudian lembu, kemudian kibas kemudian kambing.
· Tujuh ekor kibas adalah terlebih afdal daripada seekor unta.

Binatang yang boleh dibahagi 7:
· Unta, kerbau dan lembu boleh dikongsikan untuk tujuh orang walaupun mereka mempunyai niat/tujuan yang berbeza-beza, seperti setengahnya niat untuk qurban, setengahnya untuk ’aqiqah, setengahnya untuk dimakan dan setengahnya hendak menjual.
· Perkongsian ini harus walaupun salah seorang daripada mereka itu kafir dhimmi.
· Perbezaan niat-niat (tujuan) ini tidaklah memberi mudharat pada qurban dan umpamanya.
· Hendaklah dibahagikan daging sembelihan ini kepada tujuh bahagian dengan sama banyak.

Niat qurban:
· Disyaratkan niat ketika menyembelih qurban.
· Jika diwakilkan kepada seseorang untuk menyembelihnya hendaklah diniatkan ketika menyerahkan binatang yang hendak diqurbankan itu, walaupun wakil itu tidak mengetahui sembelihan itu untuk qurban, atau pembuat qurban itu niat ketika wakilnya menyembelih.
· Harus orang yang hendak berqurban itu mewakilkan niatnya kepada muslim mumayyiz yang lain, sama ada dia sebagai wakil pada menyembelih atau lainnya, kecuali qurban yang ditentukannya dengan nazar maka tidaklah disyaratkan niat baginya.

(Sumber: Kitab Matla' Al-Badrain, terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan - JAWI)


Semoga penyertaan kita dalam program yang diadakan akan merapatkan ukhuwwah Islamiyah.

Wassalamualaikum.

Monday, November 9, 2009

“Bengkel Terapi Solat”

Pada hari Ahad 8 November 2009 bersamaan 20 Zulkaedah 1430 Hijrah, Surau Al-Husna telah menganjurkan Bengkel Terapi Solat yang berlangsung mulai jam 9:00 pagi sehingga jam 5:30 petang.

Pembuka bicara dimulakan oleh Ustaz Haji Mohd Takiyuddin Haji Ibrahim, Pengerusi Surau Al-Husna. Program ini dikendalikan oleh Ustaz Setiyo Purwanto, S. Psi, MSi, Psi; dari Solat Centre Solo, Indonesia yang kebetulan berada di Malaysia. Bengkel sehari ini dikendalikan dengan secara interaksi dua hala di antara peserta dan penceramah. Ustaz Setiyo juga mengendalikan ceramahnya di selangselikan dengan persembahan slide dan video melalui komputer dan pemancar visual. Di samping itu, beliau juga menunjukkan secara praktikal pergerakan dalam solat dan kaitannya dengan terapi tubuh badan.

Seramai kira-kira 45 peserta telah menghadiri bengkel ini yang terdiri dari jemaah Surau Al-Husna dan peserta-peserta dari luar yang datang dari sekitar Lembah Klang. Meskipun tiada pekeliling yang diedarkan, sambutan adalah amat menggalakkan mengambil kira saiz ruang surau untuk menampung bilangan peserta di samping pertimbangan faktor keselesaan. Peserta dari luar pula memperolehi maklumat melalui laman blog Saudara Fuad Latip (http://www.fuadlatip.com/v1/). Para peserta yang mendaftar telah dikenakan bayaran yang amat minima.

Semua peserta menerima senaskah Al-Mathurat sebagai cenderahati sewaktu mendaftar serta nota bengkel terapi solat yang mengandungi tajuk Paradigma, Tumakninah dan Silatun. Pihak surau turut menyediakan minum pagi, makan tengahari serta minum petang, meskipun dalam keadaan yang amat sederhana tetapi meriah.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Saudara Mohd Salehan Sharif serta isteri yang menetap di Perth Australia sejak 17 tahun lalu. Beliau turut berkongsi pengalaman menjadi pendakwah dan pembimbing di kalangan masyarakat Islam Melayu dan Muslim di Australia.

Di akhir kursus, peserta berpuas hati memperolehi ilmu yang dikongsi oleh Saudara Setiyo dalam memantapkan dan memperbaiki lagi ibadah solat dan pengabdian kepada Allah SWT. Bagaimana ibadah solat ini sebenarnya adalah untuk mengagungkan Allah SWT, merendahkan diri kepada Allah SWT dan natijahnya memperolehi kesejahteraan hidup secara langsung.

Saturday, September 19, 2009

AKTIVITI-AKTIVITI AMAL JARIAH RAMADHAN 1430 HIJRAH

Alhamdullilah, bersyukur kita ke hadhrat Allah S.W.T kerana dengan taufik hidayah dan inayahNya kita dipertemukan lagi dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini. Dengan kedatangan bulan yang mulia ini Allah S.W.T memberi peluang sekali lagi kepada kita untuk merebut banyak keistimewaan serta dapat meningkatkan lagi amal kebajikan dan taqwa kepadaNya.

Sebagaimana tahun-tahun yang lepas, pihak Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam telah merangka program-program pengisian aktiviti-aktiviti amal jariah untuk sepanjang Ramadhan tahun ini, antaranya:

> Solat Sunat Terawih (sepanjang bulan Ramadhan)
> Program berbuka puasa (ringkas/ringan) setiap hari
> Majlis berbuka puasa rasmi Surau Al-Husna
> Jamuan More selepas Solat Terawih (mengikut permintaan/penajaan atau sumbangan)
> Kuliah Subuh (Mingguan - pada setiap hari Ahad)
> Majlis Tahlil & Doa (mengikut permintaan/pendaftaran)
> Program Tadarus Al-Quran harian (Dewasa & Remaja/kanak-kanak)
> Program Qiamulail/Nuzul Quran
> Majlis Khatam Al-Quran
> Penyampaian sumbangan Ramadhan/Aidil Fitri (kepada golongan layak dikenalpasti)

Wednesday, August 12, 2009

PROGRAM-PROGRAM TERKINI SURAU AL-HUSNA

Assalamualaikum…

Program-program yang diatur bertempat di Surau Al-Husna seperti berikut:

Program 1:
Program bacaan Yaasin & Solat Hajat (memohon perlindungan dari wabak H1N1 dan sempena menjelang peperiksaan anak-anak (UPSR/PSRA dll)
Tarikh: 13 OGOS 2009 (Khamis)
Masa: Maghrib hingga Isya’
Aturcara:
>> Azan & solat Maghrib berjemaah
>> Bacaan Yaasin & tahlil
>> Azan & Solat Isya’ berjemaah
>> Diikuti Solat Hajat berjemaah
>> Jamuan disediakan

Program 2:
Program Qiyamulail & Kuliyah Suboh (Bimbingan oleh YBhg Ustadz Idris Abdullah, UiTM Shah Alam)
Tarikh: 16 OGOS 2009 (awal pagi hari Ahad)
Masa: mulai jam 4.00 pagi
Aturcara:
>> Qiyamulail
>> Azan & Solat Suboh berjemaah
>> Kuliyah Suboh
>> Sarapan pagi (disediakan)

Program 3:
Ceramah Menjelang Ramadhan oleh YBhg Prof. Dr. Abdul Halim Mat Diah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Tarikh: 19 OGOS 2009 (Rabu)
Masa: Maghrib hingga Isya’
Aturcara:
>> Azan & Solat Maghrib berjemaah
>> Kuliyah/ceramah menjelang Ramadhan
>> Azan & Solat Isya’ berjemaah
>> Jamuan (sumbangan makanan – kuih-muih, buahan amat dialu-alukan)

(Nota: Program 3 telah dibatalkan atas kembalinya ke rahmatullah YBhg Prof. Dr. Abdul Halim Mat Diah, pada hari Isnin 17 Ogos 2009. Al-Fatihah. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan para Syuhada dan Solihin)

Pihak Jawatankuasa Surau Al-Husna dengan hormat dan sukacitanya menjemput muslimin dan muslimat mengambil bahagian dalam program-program yang telah dirancang.

Semoga penyertaan kita dalam program-program yang diadakan akan meningkatkan ilmu, amal dan taqwa di samping merapatkan ukhuwwah Islamiyah.

Wassalamualaikum.