Program-program meningkatkan ilmu dan amal telahpun disambung
kembali mengikut jadual. Beberapa usaha
menambahbaik program telah juga dirangka dengan menampilkan program yang
inovatif untuk menarik lebih ramai penyertaan yang berterusan.
Marathon ilmu dan amal diadakan secara berkala sekali dalam
sebulan bermula dari bulan September 2012. Program pertama diadakan pada hari
Jumaat 26 September. Dimulakan dengan kuliyah Maghrib berkitab (Kitab Munyatul
Musolli) disampaikan YBhg. Ustadz Wan Abdul Halim Wan Abdul Latif. Program sebelah
malam diteruskan dengan program Halaqah kanak-kanak dan remaja selepas solat Isyak.
Klinik Al-Quran pula dijadualkan serentak dengan Halaqah
remaja. Dikhaskan untuk golongan dewasa bagi memperbaiki mutu bacaan dan
tajwid. Klinik ini adalah juga di bawah bimbingan Ustadz Wan Abdul Halim Wan
Abdul Latif. Jamuan makan malam turut disediakan untuk para hadirin dan peserta
halaqah.
Seterusnya Qiyamulail 1/3 malam diadakan secara berjemaah bermula jam
4:15 pagi hari Sabtu. Dipimpin oleh YBhg Ustaz Idris Abdullah dari UiTM Shah
Alam. Antara solat-solat yang dilaksanakan secara berjemaah ialah solat Taubat,
solat Tahajud, solat Tasbih, solat Hajat yang diselang-seli dengan zikir dan
wirid. Qiyamulail disudahi dengan solat Witir.
Sesudah solat Subuh berjemaah, diadakan pula Kuliyah Suboh
berkitab (Kitab Penawar bagi Hati). Kuliyah disampaikan oleh Ustadz Wan Abdul
Halim Wan Abdul Latif. Kuliyah berdasarkan kepada dua kitab ini adalah
sambungan dari siri kuliyah yang disampaikan oleh Ustadz Wan Abdul Halim
sepanjang bulan Ramadhan baru-baru ini.
Usai
kuliyah Suboh, para jemaah disajikan dengan sarapan pagi sambil berbincang dan
berukhuwwah. Program bulanan ini akan diteruskan pada bulan-bulan berikut dan notis
pemberitahuan akan disebarkan melalui medium berkaitan.
Pada sebelah pagi mulai jam 9:00 pagi pula dijalankan program kitar semula (pemunggahan, pengasingan, menimbang dan penjualan). Gotong-royong ini dapat diselesaikan dalam masa sekitar 3 jam. Hasil jualan pada kali ini berjumlah hampir RM600.
(NOTA: Ustadz Wan Abdul Halim datang dari Madrasah beliau di Wilayah Pattani (Selatan Thailand). Beliau menaiki bas dari Pattani ke Rantau Panjang, Kelantan, kemudian dari Rantau Panjang ke Shah Alam pada sebelah malam dan tiba pada pagi hari Jumaat. Kemudiannya bertolak kembali ke madrasah beliau pada sebelah pagi hari Sabtu selepas kuliyah Subuh dan sarapan pagi. Program ini disusun berterusan sepanjang keberadaan beliau di Surau Al-Husna.)