info-Solat

Wednesday, April 25, 2012

PELAWAAN WAKAF

Pelawaan adalah terbuka kepada individu, berkumpulan, syarikat ataupun pertubuhan untuk mewakafkan satu unit tambahan pendingin hawa berkuasa 3.0hp untuk ruang muslimat.  

Unit tambahan ini bertujuan memberi lebih keselesaan kepada para jemaah muslimat terutama semasa kehadiran penuh (dan cuaca panas). Ini berikutan unit sedia ada terletak pada jarak yang agak jauh dari ruang muslimat.

Dianggarkan berharga dalam lingkungan RM5000 (Ringgit Malaysia Lima Ribu). Boleh dibuat secara berperingkat ataupun sekaligus. Sila berhubung dengan pihak jawatankuasa surau.

Dalil-dalil wakaf:

DALIL AL-QURAN:
Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahalaa bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”
(Surah Al-Baqarah : Ayat 261)

DALIL HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W. :
“Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, SEDEKAH JARIAH, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

KENYATAAN FATWA:
Jumhur Ulama’ iaitu Mazhab Syafie, Hanafi, Hambali & Maliki mengharuskan Wakaf Harta Alih berasaskan kepada kenyataan bahawa semua harta yang harus dijual dan boleh mendatangkan manfaat dan kekal zatnya, maka boleh diwakafkan.

Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam.

(Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-77, yang bersidang pada 10 – 12 April 2007di Primula Beach Resort, KualaTerengganu)


(Nota: Pelawaan ini yang dibuka pada Rabu 25 April 2012 telah dipenuhi. Seorang Hamba Allah telah bersetuju mewakafkan unit berkenaan dan dipasang pada hari Jumaat 27 April 2012. Semoga sumbangan beliau beroleh ganjaran pahala yang berterusan.)

AKPIM 2012


Anugerah Kecemerlangan Perhubungan Industri dan Masyarakat (AKPIM) 2012 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berlangsung pada hari Rabu 18 April 2012 bermula jam 2:00 petang bertempat di SACC Convec, Shah Alam.

Penglibatan Komuniti Surau Al-Husna adalah melalui YBhg Ustaz Haji Mohd Takiyuddin Ibrahim yang membuat penyertaan melalui Jabatan Pengajian dan Pemikiran Islam (CITU) UiTM.  Penyertaan Komuniti Surau Al-Husna adalah berkaitan program kitar semula. Antara objektif penyertaan adalah untuk berkongsi dengan seluruh masyarakat mengenai program yang telah dijalankan sejak Julai 2005.
Penyertaan Komuniti Al-Husna adalah di bawah kategori kolaborasi UiTM dengan Masyarakat. Ustaz Takiyuddin menjuarai Anugerah kategori Individu daripada lima pencalonan peringkat akhir.  Manakala jabatan yang diwakilinya CITU dinobatkan sebagai juara peringkat Jabatan.  Anugerah khas kategori masyarakat diberikan kepada Komuniti Surau Al-Husna.
Anugerah khas ini merupakan satu lagi pengiktirafan yang diterima oleh Komuniti Surau Al-Husna.

Kategori industri juga menerima anugerah masing-masing dengan syarikat Sime Darby dinobatkan sebagai penerima anugerah khas kategori industri.  


AKPIM adalah acara tahunan yang menghubungkan UiTM dengan masyarakat dan industri serta alumni UiTM.  Hadiah disampaikan oleh pengasas UiTM YBhg Tan Sri Dr Arshad Ayob. Komuniti Surau Al-Husna diwakili oleh Setiausaha dan Bendahari.

Kuliah oleh YBhg Ustaz Idris Abdullah


Kuliah Subuh bulanan oleh YBhg Ustaz Idris Abdullah berkisar kepada soal jawab antara Rasulullah SAW dan Iblis. 

Pada kali ini merujuk kepada soal jawab ke 9:
Soalan Rasulullah SAW: “Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?”

Jawab Iblis: “Sekelian Sahabat Tuan Hamba adalah juga sebesar-besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang “Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka maka kamu akan mendapat petunjuk”.  

YBhg Ustaz telah meyampaikan huraian, ulasan dan contoh-contoh berkaitan untuk semua hadirin lebih memahami.

Kuliah ini diadakan secara berkala pada setiap bulan. Ia dimulakan dengan Qiyamulail pada satu pertiga malam. Pengisian Qiyamulail yang juga dipimpin oleh YBhg Ustaz Idris, dipenuhi dengan solat-solat Tahajud, Solat Taubat, Solat Tasbih, Solat Hajat dan disudahi dengan solat Witir. Diselang-selikan dengan zikir dan pengajaran-pengajaran dari setiap amalan.

Usai kuliah Subuh, jamuan ringkas sarapan pagi dengan minuman panas yang menyegarkan disediakan diruang kafetaria.  Terima kasih kepada Saudara Abu Bakar yang menyediakan minuman panas… Bersama kita mengimarahkan surau melalui program yang dianjurkan untuk menambahkan ilmu dan amal.

Friday, April 13, 2012

Sehari Sebuah Hadis - 2

RUKUN ISLAM DAN TUNGGAK-TUNGGAK ASASNYA

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Umar bin Al-Khatab R.A. beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Islam dibina di atas lima perkara; Penyaksian bahawa tiada tuhan (ilah) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, Mendirikan sembahyang, Menunaikan zakat, Mengerjakan haji ke Baitullah dan Puasa bulan Ramadhan.”

[Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim]

(Sumber: Sarah Hadis 40 Imam Nawawi, oleh Dr. Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Misto. Pustaka Salam)

Khas untuk Junior

Membina kekuatan kerohanian dan potensi diri anak-anak..

Program untuk ahli-ahli jemaah Junior Surau Al-Husna secara mingguan telah dimulakan pada 5 April 2012. Penyertaan adalah terdiri daripada anak-anak jemaah sekitar surau.

Pengisian dibimbing oleh Ahli-ahli Kelab Hadhari UiTM Shah Alam, sebagai fasilitator. Antara pengisian ialah motivasi dan bimbingan pembelajaran. Para peserta dibahagikan kepada dua kelompok iaitu lelaki dan perempuan dan dibimbing oleh para fasilitator.

Berlangsung selama 1 jam setengah, program ini akan dilangsungkan sebagai acara mingguan pada setiap Jumaat, bermula jam 9:00 malam. Penyertaan adalah terbuka kepada semua anak-anak jemaah sekitar surau dari peringkat sekolah rendah dan menengah.

Wednesday, April 11, 2012

Sehari Sebuah Hadis - 1

SEMUA AMALAN ADALAH DENGAN NIAT

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab R.A. katanya: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya, atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.”

(Sumber: Sarah Hadis 40 Imam Nawawi, oleh Dr. Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Misto. Pustaka Salam)