info-Solat

Wednesday, November 25, 2009

Program Qurban Sempena Hari Raya Aidil Adha 1430 Hijrah

· SABTU 28 NOVEMBER 2009 (11 Zulhijjah 1430 Hijrah)


Pihak Jawatankuasa Surau Al-Husna akan menganjurkan Program Qurban sempena Hari Raya Aidil Adha 1430 Hijrah.

Sebagaimana diumumkan pihak berkuasa, Hari Raya Aidil Adha tahun 1430 Hijrah telah ditetapkan pada hari Jumaat, 27 November 2009 (10 Zulhijjah 1430 Hijrah).

Bagaimanapun dengan mengambil kira bilangan haiwan qurban sebanyak 6 ekor dan waktu solat Jumaat, pihak Surau Al-Husna telah menetapkan program Qurban dilaksanakan pada hari Sabtu, 28 November (11 Zulhijjah 1430 Hijrah).

Aturacara Program Qurban:
07.15 Pagi - Mulai berkumpul di perkarangan surau
· Pendaftaran & Agihan Kupon
· Sarapan Pagi
Taklimat & Agihan Kumpulan
· Kerja-kerja penyembelihan/melapah
· Kerja-kerja memasak

01.02 Tengahari - Azan dan Solat Zuhur berjemaah
o Agihan Daging Qurban
o Jamuan Tengahari
o Bersurai


SEDIKIT INFO BERKAITAN IBADAH QURBAN

Hukum Qurban:

· Hukum Qurban ialah sunat muakkad sama ada bagi orang-orang yang sedang mengerjakan haji atau tidak.

Masuk Waktu Qurban:
· Bermulanya waktu qurban apabila naik matahari Hari Nahar (hari 10 Zul Hijjah) dan setelah berlalu masa sembahyang dua rekaat Hari Raya dan dua khutbah yang ringkas (ringkas sembahyang dan dua khutbahnya).

Binatang yang afdal qurban:
· Binatang yang afdal untuk dibuat qurban mengikut keutamaan ialah unta, kemudian lembu, kemudian kibas kemudian kambing.
· Tujuh ekor kibas adalah terlebih afdal daripada seekor unta.

Binatang yang boleh dibahagi 7:
· Unta, kerbau dan lembu boleh dikongsikan untuk tujuh orang walaupun mereka mempunyai niat/tujuan yang berbeza-beza, seperti setengahnya niat untuk qurban, setengahnya untuk ’aqiqah, setengahnya untuk dimakan dan setengahnya hendak menjual.
· Perkongsian ini harus walaupun salah seorang daripada mereka itu kafir dhimmi.
· Perbezaan niat-niat (tujuan) ini tidaklah memberi mudharat pada qurban dan umpamanya.
· Hendaklah dibahagikan daging sembelihan ini kepada tujuh bahagian dengan sama banyak.

Niat qurban:
· Disyaratkan niat ketika menyembelih qurban.
· Jika diwakilkan kepada seseorang untuk menyembelihnya hendaklah diniatkan ketika menyerahkan binatang yang hendak diqurbankan itu, walaupun wakil itu tidak mengetahui sembelihan itu untuk qurban, atau pembuat qurban itu niat ketika wakilnya menyembelih.
· Harus orang yang hendak berqurban itu mewakilkan niatnya kepada muslim mumayyiz yang lain, sama ada dia sebagai wakil pada menyembelih atau lainnya, kecuali qurban yang ditentukannya dengan nazar maka tidaklah disyaratkan niat baginya.

(Sumber: Kitab Matla' Al-Badrain, terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan - JAWI)


Semoga penyertaan kita dalam program yang diadakan akan merapatkan ukhuwwah Islamiyah.

Wassalamualaikum.

Monday, November 9, 2009

“Bengkel Terapi Solat”

Pada hari Ahad 8 November 2009 bersamaan 20 Zulkaedah 1430 Hijrah, Surau Al-Husna telah menganjurkan Bengkel Terapi Solat yang berlangsung mulai jam 9:00 pagi sehingga jam 5:30 petang.

Pembuka bicara dimulakan oleh Ustaz Haji Mohd Takiyuddin Haji Ibrahim, Pengerusi Surau Al-Husna. Program ini dikendalikan oleh Ustaz Setiyo Purwanto, S. Psi, MSi, Psi; dari Solat Centre Solo, Indonesia yang kebetulan berada di Malaysia. Bengkel sehari ini dikendalikan dengan secara interaksi dua hala di antara peserta dan penceramah. Ustaz Setiyo juga mengendalikan ceramahnya di selangselikan dengan persembahan slide dan video melalui komputer dan pemancar visual. Di samping itu, beliau juga menunjukkan secara praktikal pergerakan dalam solat dan kaitannya dengan terapi tubuh badan.

Seramai kira-kira 45 peserta telah menghadiri bengkel ini yang terdiri dari jemaah Surau Al-Husna dan peserta-peserta dari luar yang datang dari sekitar Lembah Klang. Meskipun tiada pekeliling yang diedarkan, sambutan adalah amat menggalakkan mengambil kira saiz ruang surau untuk menampung bilangan peserta di samping pertimbangan faktor keselesaan. Peserta dari luar pula memperolehi maklumat melalui laman blog Saudara Fuad Latip (http://www.fuadlatip.com/v1/). Para peserta yang mendaftar telah dikenakan bayaran yang amat minima.

Semua peserta menerima senaskah Al-Mathurat sebagai cenderahati sewaktu mendaftar serta nota bengkel terapi solat yang mengandungi tajuk Paradigma, Tumakninah dan Silatun. Pihak surau turut menyediakan minum pagi, makan tengahari serta minum petang, meskipun dalam keadaan yang amat sederhana tetapi meriah.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Saudara Mohd Salehan Sharif serta isteri yang menetap di Perth Australia sejak 17 tahun lalu. Beliau turut berkongsi pengalaman menjadi pendakwah dan pembimbing di kalangan masyarakat Islam Melayu dan Muslim di Australia.

Di akhir kursus, peserta berpuas hati memperolehi ilmu yang dikongsi oleh Saudara Setiyo dalam memantapkan dan memperbaiki lagi ibadah solat dan pengabdian kepada Allah SWT. Bagaimana ibadah solat ini sebenarnya adalah untuk mengagungkan Allah SWT, merendahkan diri kepada Allah SWT dan natijahnya memperolehi kesejahteraan hidup secara langsung.