info-Solat

Wednesday, May 14, 2008

Suatu Permulaan

Assalamualaikum,

Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam....

Segalanya bermula menjelang Ramadhan tahun 1423 Hijrah (2003 Masehi)... Dimulakan dengan penubuhan Jawatankuasa Penaja Surau Seksyen 20B. Surau ini dibina hasil sumbangan masyarakat setempat, atas keinginan yang kuat untuk mewujudkan satu tempat berkumpul, menimba ilmu, beramal ibadah dan bermasyarakat.

Selepas Jawatankuasa Penaja berjaya mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa berkaitan, satu mesyuarat agung telah diadakan bagi mewujudkan jawatankuasa yang tetap dan perubahan nama surau kepada Surau Al-Husna, Seksyen 20, Shah Alam.

Asalnya (dan masih lagi) hanya sebuah kabin binaan yang berukuran 20 kaki lebar dan 30 kaki panjang. Kini telah ditambah kiri, kanan dan belakang untuk menampung pertambahan jemaah dan aktiviti.

Pada mulanya tiada kemudahan bilik air, hasil sumbangan para dermawan, kini terbina sebuah bilik air dan tempat mengambil wudhu yang selesa untuk lelaki dan wanita. Dibina sebagai bangunan kekal dengan batu-bata dan simen konkrit dengan kos hampir RM40,000, untuk kegunaan jangkapanjang.

Kami menampung kos aktiviti mengimarahkan surau dengan menjalankan kegiatan kitar semula mulai Julai 2005. Selain menjana sumber pendapatan melalui penjualan barangan kitar semula yang didermakan oleh masyarakat setempat, ia juga mampu mendidik masyarakat mengenai kepentingan kitar semula kepada manusia dan tempat tinggalnya, yakni bumi ini. Disamping menyuburkan amalan sedekah meskipun hanya melalui bahan terbuang.

Selain aktiviti harian dalam mengimarahkan surau, kami mempunyai kalendar aktiviti mingguan dan bulanan di samping aktiviti yang dilaksanakan berdasarkan hari-hari kebesaran dalam kalendar Islam. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah, kuliyyah fardhu ain, kuliyyah tafsir hadis, kelas tajwid Al-Quran, ceramah umum merangkumi pendidikan anak-anak, peranan ibu-bapa dan masyarakat, sukan dan kesihatan, motivasi, hal-ehwal semasa dan sebagainya.

Bermula tahun 2006, surau ini telah digunakan sebagai tempat Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang dikendalikan oleh pihak swasta, menampung kira-kira 100 orang murid.

Perancangan dan usaha sedang dilakukan untuk membina sebuah bangunan surau kekal di tapak yang sama. Bagi tujuan ini, kelulusan tapak tanah dan perkara berkaitan dengan pentadbiran surau telahpun diluluskan oleh pihak berkuasa seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Perkara yang masih dalam proses ialah penyediaan pelan bangunan yang menepati piawaian. Dengan izin Allah, kami harap semua proses ini mampu diselesaikan menjelang hujung tahun 2008.

Dari masa ke semasa, pihak jawatankuasa Surau Al-Husna mengedarkan pekeliling berkaitan aktiviti semasa yang dilaksanakan. Dalam perkeliling tersebut turut dinyatakan alamat surat menyurat dan nombor telefon Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha.

Kalangan dermawan yang ingin memberi sumbangan untuk membiayai aktiviti semasa dan/atau membiayai pembinaan bangunan surau kekal boleh didebitkan terus atas nama Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam di Public Bank akaun semasa bernombor 3994 192 802.

Segala sumbangan amat dihargai dan semoga memperoleh keberkatan dari Allah SWT.

Wassalamulaikum.